Sorting by

×

KARNIVAL HEBADS 2026 CETUS GENERASI BERANI KATAKAN TIDAK KEPADA BULI, DADAH

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MASJID TANAH 15 Mei – Karnival Hentikan Buli, Anti Dadah, Rokok/Vape dan Jenayah Seksual (HeBADS) Peringkat Negeri Melaka 2026 menjadi antara platform penting dalam membentuk generasi berakhlak mulia di negeri ini.

Karnival yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Taha, di sini, diwarnai dengan pelbagai aktiviti bermanfaat berteraskan pendidikan, pencegahan dan kesedaran kepada murid.

Dianjurkan Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bersama SK Demang Taha, antara pengisian menarik yang diadakan adalah seperti Pertandingan Deklamasi Sajak Anti Dadah, Kuiz Digital Pencegahan Jenayah, Pertandingan Poster Digital Canva Hentikan Buli serta 5 Minutes Pitching Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).

Selain itu, turut diadakan ceramah dan pameran melibatkan agensi strategik seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Alor Gajah, Polis Diraja Malaysia PDRM (Unit Narkotik), Jabatan Penjara, Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan Jabatan Agama Islam Melaka.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata, sinergi pelbagai pihak menerusi penganjuran karnival tersebut amat penting dalam membendung gejala sosial dalam kalangan murid sejak peringkat awal.

“Penganjuran HeBADS 2026 dilihat sebagai platform terbaik untuk menyemai kesedaran, memperkukuh sahsiah dan memupuk budaya sekolah yang harmoni serta bebas daripada buli, dadah, rokok atau vape dan jenayah seksual,” katanya ketika merasmikan karnival tersebut.

Terdahulu, karnival itu disertai seramai 161 guru dan murid dari seluruh Negeri Melaka bagi bersama-sama membendung gejala sosial yang boleh menular di sekolah sejak peringkat awal.

Penganjuran karnival julung kali itu merupakan gabungan idea di antara Unit Disiplin Pengawas, Unit PPDa dan Kelab Pencegahan Jenayah SK Demang Taha bersama Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah dan Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post MAIM REKOD 41 INDIVIDU PELUK ISLAM DI MELAKA TAHUN INI