Sorting by

×

BANGUNKAN IKS, ELAK ANAK MUDA MACHAP JAYA BERHIJRAH

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MACHAP JAYA 15 Mei – Mewujudkan sebuah kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menjadi antara fokus yang mahu diperjuangkan Datuk Ngwe Hee Sem selaku wakil rakyat kawasan itu.

Jelas beliau, kewujudan sebuah kawasan industri amat penting dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya anak muda di kawasan itu.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung dapat mengelakkan orang muda daripada berhijrah dari kampung untuk mencari pekerjaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur mahupun negara jiran, Singapura.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, setiap DUN perlu mempunyai fokus apa yang mahu dilakukan dan bagi saya di Machap Jaya memerlukan sebuah kawasan industri bagi merancakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.

“Namun, perkara ini memerlukan masa dan jika saya masih diberi mandat, saya akan terus berjuang untuk merealisasikan hasrat ini.

“Hanya satu yang saya mahukan iaitu menaikkan taraf ekonomi dan punca pendapatan penduduk di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya itu bagaimanapun mengakui untuk membangunkan sebuah kawasan industri di situ bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat beberapa cabaran antaranya ia terletak di sebahagian besar kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal dan tidak sesuai untuk pembangunan industri.

Bagaimanapun, beliau tetap berusaha mencari pendekatan baharu, termasuklah berbincang dengan sebuah pemaju projek perumahan di Lesong Batu berkeluasan 300 ekar untuk menambah IKS sebagai antara pelan pembangunan mereka dan ia telah dipersetujui.

“Bagaimanapun disebabkan konflik yang sedang berlaku menyebabkan projek ini terpaksa ditangguhkan.

“Namun ia bukan bermakna saya perlu berhenti, sebaliknya akan terus berusaha memastikan perancangan untuk membangunkan IKS ini dapat direalisasikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI RASMI MASJID AL-HASANAH PONDOK KEMPAS
Next post MINDEF TINGKAT PERUNTUKAN WBL ATM KEPADA HAMPIR RM10 JUTA, SASAR 1,500 ANGGOTA