
MAIM REKOD 41 INDIVIDU PELUK ISLAM DI MELAKA TAHUN INI
BUKIT KATIL 15 Mei – Seramai 41 saudara baharu telah direkod memeluk Islam dan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) setakat Januari hingga Mei tahun ini.
Jumlah itu termasuk dua individu yang melafaz syahadah di Surau AGIB Taman Bukit Katil Jaya, di sini, pada Khamis.
Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab berkata, lebih istimewa pengislaman kedua-dua mualaf itu dipimpin sendiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Katanya, dua individu itu Mohammad Redwan Abdullah, 30 dan Siti Hajar Abdullah, 36, telah melafazkan syahadah secara bersama tepat jam 8.15 malam bersamaan 26 Zulkaedah 1447 Hijrah.
“Dua mualaf baharu yang disyahadahkan oleh Tun Dr. Mohd Ali dan ini adalah mualaf ke-40 dan ke-41 di bawah MAIM bagi tahun 2026 setakat 14 Mei.
“Lafaz syahadah itu turut disaksikan ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir memberi sokongan kepada saudara-saudara baharu ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Nasir berkata, Surau AGIB Taman Bukit Katil Jaya merupakan antara lokasi aktif melaksanakan proses pengislaman dengan lebih 10 individu telah melafazkan syahadah di situ dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kesemua mualaf yang diislamkan tetap perlu ke Balai Islam untuk proses pendaftaran kerana hanya MAIM sahaja yang berkuasa untuk mengeluarkan kad pengislaman mualaf.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

