
TOK RAUF MAHU PERKASA ANAK MASJID TANAH
TANJUNG BIDARA 16 Mei – Pelbagai inisiatif sudah dan akan terus dilaksanakan bagi terus memperkasa aspek pembangunan anak-anak di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
Sebanyak RM50,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program pembangunan pelajar di Parlimen Masjid Tanah.
Program itu melibatkan Pertandingan Bola Sepak dan Sepak Takraw Piala Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Pertandingan Bola Jaring Piala Datin Seri Utama Zuriyah Abd Aziz yang dijadualkan pada 9 hingga 14 Jun 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain itu, beberapa lagi program khusus melibatkan anak-anak Masjid Tanah sedang dirangka dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, program berkenaan merangkumi beberapa kluster Utama iaitu yang pertama melibatkan penganjuran pertandingan akademik bahasa seperti debat, pidato dan pantun yang akan diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah;
“Kedua pertandingan akademik Agama seperti nasyid, hafazan dan tilawah al-Quran yang akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Melaka. Ketiga Sukan OKU melibatkan sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas serta Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Justeru, saya menuntut semua jabatan dan agensi yang terlibat agar dapat menyelaras pelaksanaan keseluruhan program secara bersepadu bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Seuntai Kasih Sejambak Bakti Buat Pesara Guru Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Majlis meraikan 570 pesara guru dalam Parlimen Masjid Tanah itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.
Hadir sama Timbalan Exco, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Menurut Ketua Menteri pengetua dan guru besar diminta untuk menguar-uarkan program disusun kepada para pelajar, sekali gus menghantar penyertaan daripada sekolah masing-masing.
“Hakikatnya, ini hanyalah sebahagian daripada usaha kami dalam memastikan pembangunan pendidikan, sahsiah dan potensi anak-anak Masjid Tanah terus diperkasa.
“Inilah janji saya, insya-Allah selagi diberi amanah, selagi diberi kepercayaan, saya bersama sahabat-sahabat kepimpinan Kerajaan Negeri akan bekerja lebih kuat, bertaut hati dan berganding erat demi memastikan Melaka terus maju, rakyat terus dibela dan masa depan anak-anak negeri ini terus terjamin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

