Sorting by

×

‘QR TAGGING’ LEMBU, KERBAU BANTU TANGANI KES HAIWAN BERKELIARAN DI JASIN – MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MERLIMAU 17 Mei – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang menjadi perintis kepada pengenalan sistem ‘QR tagging’ membabitkan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, inisiatif itu diyakini dapat memberi impak cukup positif, khususnya dalam kes-kes membabitkan haiwan berkeliaran yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di Jasin.

Beliau berkata, di peringkat MPJ, aduan berkaitan haiwan berkeliaran menjadi antara yang banyak disalurkan rakyat, justeru pihaknya komited untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menangani masalah tersebut.

“Sebelum ini, kita telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan selain turun padang ke ladang-ladang ternakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada penternak agar tidak melepaskan haiwan mereka berkeliaran.

“Kini ditambah dengan inisiatif QR Tagging yang diperkenalkan, ia menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani aduan rakyat membabitkan haiwan berkeliaran dan insya-Allah usaha ini dapat mengurangkan masalah yang membelenggu sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, pada Sabtu.

Menurut Muhammad Zahiruddin, sebelum ini, antara langkah yang telah diambil MPJ bagi isu tersebut adalah dengan menangkap haiwan ternakan yang dikesan berkeliaran di jalan raya, mahupun kawasan perumahan.

Jelas beliau, ternakan yang ditangkap akan ditahan di depoh khas dan pemilik yang hendak menuntut haiwan tersebut perlu membayar kompaun dan yuran jagaan haiwan mengikut hari.

“Kebiasaannya mengikut kes membabitkan haiwan ternakan ini memang tiada pengurangan diberikan kerana ia melibatkan aspek keselamatan kepada orang ramai.

“Jadi, kita berharap penternak, khususnya di daerah Jasin dapat menyahut inisiatif pemasangan QR Tagging ini ke arah usaha bukan sahaja menangani isu haiwan berkeliaran, bahkan ia juga menjadi satu langkah penting kepada transformasi sektor penternakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post 7,400 GAMATKAN SEPETANG WARISAN SANTAI@BANDA HILIR