Sorting by

×

BANDA HILIR ‘HIDUPKAN’ PERMAINAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 16 Mei – Permainan rakyat yang pernah menjadi medium penyatuan masyarakat suatu ketika dahulu wajar dihidupkan semula menerusi penganjuran program berteraskan budaya dan warisan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, permainan seperti congkak, dam aji, sepak raga bulatan dan cap teh perlu terus diperkenalkan kepada generasi muda bagi memastikan warisan budaya bangsa tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, walaupun dunia semakin moden dan dipengaruhi teknologi, nilai budaya serta tradisi masyarakat Melayu perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Generasi muda hari ini perlu diberi pendedahan terhadap permainan tradisional yang pernah menjadi aktiviti utama masyarakat dahulu.

“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti riadah dan hiburan, malah menjadi usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim antara masyarakat di samping mengangkat warisan budaya Negeri Melaka kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sepetang Warisan Santai@Banda Hilir di Perkarangan Stadthuys, di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Abdul Razak berkata, lokasi Banda Hilir yang kaya dengan nilai sejarah dan warisan menjadikan program berkonsepkan budaya amat sesuai dianjurkan di kawasan itu.

“Justeru kita anjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan sukan tradisional, pertandingan beca berhias dan beca klasik, persembahan kebudayaan serta demonstrasi kuih tradisional yang mendapat sambutan pengunjung dan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

119
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL PERKENAL ‘PENTERNAKAN IKAN DIGITAL’