
JANGAN RASA KERDIL TETAPI BANGGA JADI GRADUAN TVET
TABOH NANING 18 Mei – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) umpama ‘jambatan emas’ yang bukan sahaja menentukan hala tuju kehidupan individu tetapi mencorak negara ini pada masa hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan, stigma atau perasaan malu kerana kononnya TVET adalah bidang pilihan kedua juga perlu ditepis oleh generasi muda pada masa sekarang.
Jelasnya, graduan TVET kini memainkan peranan besar dalam menyokong perkembangan kemajuan negara dan industri yang amat memerlukan jumlah tenaga manusia berkemahiran tinggi pelbagai bidang.
Katanya, bagi mewujudkan ekosistem TVET yang mampan, Kerajaan Negeri merangka beberapa inisitif seperti menubuhkan Melaka Centre of Excellence (MCOE) Sebagai pusat penyelarasan bakat TVET negeri menghubungkan institusi latihan, industri dan graduan secara lebih tersusun serta berfokus.
“Kita memberikan tumpuan kepada bidang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan, antaranya semikonduktor, automotif, hospitaliti, pelancongan, kecerdasan buatan atau (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT). Pendek kata, menerusi MCOE anak-anak TVET mempunyai laluan yang jelas untuk masuk ke industri dan membina kerjaya yang berkualiti di Melaka.
“Pusat ini juga menjadi platform kepada graduan TVET untuk mengikuti program ‘upskilling’, pensijilan profesional, ‘internship’, ‘apprenticeship’ dan ‘industry attachment’ bersama pemain industri,” kata Ketua Menteri pada sesi Towh Hall Bersama Pelajar Institut Teknologi Automotif Termaju Proton (Proton Institute) Dan ADTEC JTM Di Negeri Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka di Auditorium Proton Institute, di sini, hari, ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Sdn Bhd Datuk Ir. Abdul Rashid Musa serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk N gwe Hee Sem.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zilkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Pengarah Proton Institute Ts. Dr. Norhuda Salim
Ab Rauf berkata, graduan TVET juga boleh menyumbang sebagai mentor, tenaga pengajar industri dan ‘role model’ kepada pelatih baharu dalam memperkukuh ekosistem TVET negeri.
“Untuk fasa awal, keutamaan MCOE adalah kepada anak Melaka bagi memastikan peluang latihan, pekerjaan dan pembangunan kerjaya dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini. Insya-Allah, apabila ekosistem ini semakin matang dan meluas, MCOE juga berpotensi dibuka kepada graduan luar yang menuntut di institusi TVET dan universiti di Melaka.
” Melalui kerjasama strategik dengan industri, kita menyasarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dan latihan setahun termasuk penempatan kerja, internship, apprenticeship dan industry attachment,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

