Sorting by

×

JAMBATAN KERETA API LAMA TEBONG STESEN SIMBOL WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MACHAP JAYA 20 Mei – Tersergam merentasi masa, jambatan kereta api lama di Kampung Tebong Stesen terus berdiri utuh dan menjadi saksi bisu perjalanan sejarah yang merentasi zaman penjajahan hingga ke hari ini.

Difahamkan, jambatan itu dibina pada era penjajahan British sebagai sebahagian daripada laluan kereta api yang menghubungkan Tampin ke Gemas sebelum diteruskan ke Johor dan Singapura sekali gus menjadi pengangkutan penting ketika itu.

Tinggalan struktur jambatan dan landasan tersebut terletak kira-kira 500 meter dari Stesen Kereta Api Lama Tebong dan dipercayai mengalami kerosakan selepas dibom oleh tentera Jepun sekitar tahun 1942.

Walaupun sebahagiannya telah rosak, keunikan seni bina serta nilai sejarah yang terdapat pada jambatan berkenaan masih jelas kelihatan sekali gus menarik perhatian pengunjung yang datang.

Kini, lokasi bersejarah itu bukan sahaja menjadi simbol warisan Kampung Tebong Stesen tetapi turut menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja peminat sejarah malah mereka yang ingin merakam gambar serta mengabadikan nostalgia suasana lampau.

Penduduk kampung Hassim Dollah berkata, jambatan lama itu mempunyai potensi untuk menjadi lokasi tumpuan ramai sekiranya diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkaitan kerana tidak semua kampung mempunyai tinggalan sejarah.

“Saya dimaklumkan lokasi ini sering dikunjungi bukan sahaja orang tempatan malah pengunjung dari luar untuk mengambil gambar.

“Malah turut menjadi lokasi pasangan raja sehari bergambar dan sekiranya kawasan ia terjaga, cantasan dibuat dengan kemas pastinya suasana di situ bertambah cantik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post 668 JEMAAH ‘LITTLE CALIPHS’ TUNAI HAJI