Sorting by

×

668 JEMAAH ‘LITTLE CALIPHS’ TUNAI HAJI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Mei – Little Caliphs International Sdn Bhd (Little Caliphs) terus memperkasa pendidikan Islam menerusi Program Little Hajj 2026 yang memberi pengalaman awal dan peluang kepada kanak-kanak memahami ibadah haji melalui simulasi interaktif.

Program yang melibatkan 668 murid berusia enam tahun daripada 27 cawangan Little Caliphs seluruh Melaka dan Johor Utara itu diadakan di Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pengarah Program Little Hajj 2026 Melaka dan Johor Utara Siti Affiza Mohammad berkata, program tersebut memberi penekanan kepada pembelajaran berteraskan Islamik yang diterapkan secara menyeluruh dalam kurikulum harian.

“Little Caliphs memang menekankan pendidikan Islamik yang diterapkan dalam keseluruhan kurikulum, bukan sekadar satu subjek. Dari awal murid datang ke sekolah hingga pulang, elemen Islamik sentiasa diterapkan.

“Pendekatan experiential learning (pembelajaran berasaskan pengalaman) melalui simulasi haji dan umrah memberi pengalaman langsung kepada murid, sekali gus membantu mereka memahami setiap langkah ibadah dengan lebih jelas.

“Program ini sangat menggembirakan murid dan ibu bapa apabila mereka mengalaminya sendiri, mereka lebih mudah faham dan boleh mengingati langkah-langkah ibadah, terutama apabila berpeluang menunaikan umrah atau haji bersama keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program berkenaan, di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran program tahunan itu juga bertujuan menanam asas akidah serta kefahaman terhadap rukun Islam sejak usia muda.

“Rukun haji dan umrah adalah sebahagian daripada rukun Islam. Kita mahu anak-anak ini faham dan ingat sampai dewasa kerana ini adalah asas penting dalam pembentukan mereka.

“Kami di Little Caliphs kita memberi fokus kepada pembentukan sahsiah, keyakinan diri dan kepimpinan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

“Kita mahu anak-anak ini berani, ada jati diri dan mampu menjadi pemimpin. Kebanyakan murid menunjukkan perkembangan positif dan perkara ini turut mendapat maklum balas baik daripada guru sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

243
Kongsi :
Previous post BURU MADU LEBAH, BIAK BAKA KAMBING ‘HEALING’ CARA IMAM RASIP