
TOK RAUF BELANJA SATU TAN DURIAN UNTUK ORANG ALOR GAJAH
ASAHAN 30 Jun – Kira-kira satu tan durian habis diagihkan kepada penduduk di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Alor Gajah menerusi Jelajah Tok Rauf Nak Belanja Durian apabila dihadiri kira-kira 3,000 penduduk.
Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Kepada Ketua Menteri Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, durian percuma itu dibelanja khas oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh khusus untuk rakyat.
Menurut beliau, jelajah itu bermula di DUN Durian Tunggal, seterusnya DUN Rembia, DUN Gadek, DUN Machap Jaya dan berakhir di DUN Asahan.
Beliau berkata, sambutan diterima amat menggalakkan apabila dihadiri masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat Orang Asli hadir bersama-sama menikmati durian tempatan yang diagihkan.
“Kelima-lima DUN dalam Parlimen Alor Gajah kita masuk dan setiap lokasi menerima sambutan luar biasa selain dianggarkan setiap hentian kita agihkan 200 kilogram durian untuk penduduk setempat.
“Keseluruhan untuk kesemua hentian kita anggarkan seramai 3,000 orang hadir menikmati durian yang dibawa khas oleh Skuad Tok Rauf.
“Dengan kehadiran pelbagai kaum ini menunjukkan sambutan amat baik dan sekali gus dapat memperkukuhkan silaturahim,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Jelajah Tok Rauf Nak Belanja Durian di Tapak Pasar Malam, Jalan Batang Melaka Jaya 1, di sini, hari ini.

Muhammad Ahyad berkata, inisiatif itu diambil Ketua Menteri memandangkan Melaka kini sedang dalam fasa musim durian, sekali gus membantu rakyat Melaka menikmatinya secara percuma.
“Selain diedarkan kepada penduduk, Ketua Menteri turut mengagihkan durian kepada sekolah-sekolah tahfiz di negeri ia supaya anak-anak tahfiz ini turut dapat menikmati durian Melaka.
“Insya-Allah sekiranya tiada masalah dan buah mencukupi kita akan teruskan ke Parlimen Tangga Baru sebelum ke Parlimen Masjid Tanah dengan jumlah yang sama iaitu satu tan setiap Parlimen,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


