
‘KENDURIAN’ MELAKA TAWAR BUFET BLACK THORN, MUSANG KING HANYA RM25
ASAHAN 30 Jun – Rakyat Melaka berpeluang menikmati bufet durian premium dari jenis Musang King dan Block Thorn pada harga hanya RM25 seorang.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tawaran istimewa itu diberikan pada Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 yang akan diadakan pada 5 Julai ini di Duta Riang Villa, Selandar, di sini.
Jelas beliau, program itu akan diadakan bermula jam 11 pagi hingga 4 petang, di mana, setiap pengunjung boleh menikmati durian tanpa had selama 20 minit mengikut slot yang ditetapkan.
“Rakyat Melaka yang ingin menikmati tawaran RM25 ini perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti kelayakan termasuk pemegang kad pengenalan berkod negeri Melaka.
“Untuk orang luar Melaka, mereka masih boleh menikmati bufet ini, namun bayaran yang dikenakan adalah RM50 seorang, manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun masuk adalah percuma.
“Kendurian ini hanya untuk orang ramai makan di lokasi program sahaja mengikut tempoh masa dan slot yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak program, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Nor Azhar Abdul Hamid dan Penolong Pengarah Pelancongan Malaysia Wilayah Selatan Norisyam Odzali.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, program istimewa itu diadakan bertujuan membantu pekebun kecil di Melaka memasarkan durian selain membolehkan orang ramai menikmati durian berkualiti pada harga berpatutan.
“Walaupun berlaku lambakan durian di pasaran ketika ini, harga runcit durian premium seperti Musang King masih di antara RM25 hingga RM35 sekilogram manakala Black Thorn hampir RM40 sekilogram.
“Jadi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menganjurkan program ini bagi membantu rakyat Melaka yang mungkin tidak berkemampuan membeli durian premium menikmatinya dengan harga cukup istimewa.
“Pada masa sama, kita juga mahu merancakkan sektor pelancongan bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

