Sorting by

×

TERIMA KASIH TOK RAUF, RAKYAT PUAS HATI MAKAN DURIAN PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

ASAHAN 1 Julai – Inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh belanja durian secara percuma untuk penduduk di Parlimen Alor Gajah menerusi Jelajah Tok Rauf Nak Belanja Durian menerima sambutan amat meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

‘Raja buah’ yang dibawa khas oleh Skuad Tok Rauf itu dinikmati dalam suasana santai di lima hentian terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Alor Gajah memberi peluang kepada masyarakat menikmati durian sepuas hati.

Penduduk Kampung Nyalas, Norziah Mahat, 54, berkata, inisiatif berkenaan amat dihargai kerana memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati durian secara percuma ketika kemuncak musim buah itu di negeri ini.

“Usaha Ketua Menteri ini amat baik kerana bukan semua orang berpeluang menikmati durian. Menerusi keprihatinan Ketua Menteri, kami rakyat dapat makan sepuas hati bersama komuniti setempat.

“Program seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan kaum kerana berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana harmoni sambil menikmati durian bersama-sama,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Tapak Pasar Malam, Jalan Batang Melaka Jaya 1, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk dari Kampung On Lok, Khoi Uock Wee, 56, berkata, meskipun dia dan suami Chee Ming Chim, 64, tidak dapat menikmati durian dalam kuantiti yang banyak berikutan faktor kesihatan, mereka tetap hadir bagi merasai kemeriahan suasana menikmati durian secara beramai-ramai.

“Suasananya amat meriah apabila semua yang hadir berpeluang menikmati durian sepuas hati selain itu, kami dapat berkumpul serta duduk bersama-sama dalam suasana penuh muhibah. Terima kasih Ketua Menteri yang sentiasa ingat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, G Muthu, 67, dan isteri R Muniayamah, 65, yang menetap di Gemenceh, Negeri Sembilan turut mengambil peluang hadir ke Jelajah Tok Rauf Nak Belanja Durian.

“Ketika kami tiba kira-kira jam 4.30 petang orang masih tidak ramai, namun tidak lama selepas itu pengunjung makin bertambah dan suasana amat meriah. Semua orang berpeluang menikmati durian sepuas hati dan inisiatif diambil Ketua Menteri Melaka dalam menyantuni rakyat ini amat baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post KERJASAMA SEMUA AGENSI PASTIKAN KELANCARAN PRN MELAKA KE-16
Next post POLIS MELAKA SUDAH BERSEDIA HADAPI PRN KE-16