
KERJASAMA SEMUA AGENSI PASTIKAN KELANCARAN PRN MELAKA KE-16
TANJUNG BIDARA 1 Julai – Kerjasama semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tidak lama lagi berlangsung dalam suasana aman dan lancar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan data semasa, seramai 685,455 pengundi berdaftar akan terlibat, meliputi 264 pusat mengundi dan 1,198 saluran mengundi seluruh negeri.
Ab Rauf berkata, mengambil kira skala tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan lebih 3,300 pegawai dan anggota dengan kekuatan sokongan satu unit ‘Public Order Riot Unit’ (PORU) serta 1 trup Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Pada masa yang sama, sebanyak empat bilik gerakan di peringkat kontinjen dan Daerah turut diaktifkan bagi memastikan setiap perkembangan dapat dipantau dengan lebih dekat, setiap maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan setiap tindakan dapat diselaras dengan tepat.
“Justeru, saya menuntut komitmen dan kerjasama penuh daripada semua jabatan dan agensi, kerana PDRM tidak boleh bergerak sendirian…Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh bekerja secara terasing,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Latih Amal Ex-Undi Pengendalian Elemen Rusuhan PRN Ke-16 Negeri Melaka (Simulasi Ketenteraan Awam) di Dewan Datuk Kapten (B) Ab Karim, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar; Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Krisis Bencana) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk MV Srikumar; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka Norazle Sulaiman serta Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka Rudy Rohan Johan @ Shafie.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Jefferi Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim.
Katanya, sepanjang latihan para peserta didedahkan kepada pelbagai senario termasuk pengendalian elemen rusuhan, kebakaran, kecemasan perubatan, kawalan lalu lintas serta tindakan bersepadu pasukan keselamatan, dengan penggunaan 30 buah jentera dan aset operasi.
“Namun kejayaan sebenar latihan dilaksanakan bukan hanya dinilai berdasarkan demonstrasi yang berlangsung, tetapi terletak pada sejauh mana setiap dapatan diterjemahkan kepada tindakan.
“Segala kelemahan mesti diperbaiki dan setiap prosedur mesti diperkemas sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


