Sorting by

×

‘SAYA MAHU PRN MELAKA DIURUS SECARA PROFESIONAL DAN SELAMAT’ – AB RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Julai – Atas dasar menghormati prinsip demokrasi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tidak lama lagi diuruskan secara profesional dan berlangsung dalam suasana aman serta tenteram.

Ketua Menteri berkata semua pihak boleh berbeza parti, pandangan atau pilihan, namun pada masa yang sama menegaskan tidak ada kepentingan politik lebih besar daripada keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan Negeri Melaka.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara turut mengingatkan kepada semua bahawa pilihan raya adalah medan demokrasi dan bukannya provokasi.

“Kita kini berada dalam fasa yang cukup penting menjelang PRN Melaka Ke-16 dan dalam tempoh ini, setiap persiapan perlu diperhalusi, setiap kemungkinan perlu dijangka dan setiap agensi mesti jelas dengan peranan serta tanggungjawab masing-masing.

“Dalam konteks inilah, latih amal ini hadir sebagai langkah persiapan yang tepat. Ia bukan bertujuan menimbulkan kebimbangan atau mencetuskan sebarang persepsi, sebaliknya memastikan semua pihak benar-benar bersedia menghadapi apa jua situasi yang mungkin berlaku di lapangan.

“Saya percaya, dengan perancangan rapi, kesiapsiagaan yang tinggi serta kerjasama padu semua pihak, Melaka mampu mengendalikan PRN Ke-16 dengan penuh profesionalisme, sekali gus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pengurusan keselamatan pilihan raya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Latih Amal Ex-Undi Pengendalian Elemen Rusuhan PRN Ke-16 Negeri Melaka (Simulasi Ketenteraan Awam) di Dewan Datuk Kapten (B) Ab Karim, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar; Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Krisis Bencana) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk MV Srikumar; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka Norazle Sulaiman serta Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka Rudy Rohan Johan @ Shafie.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Jefferi Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim.

Terdahulu beliau bersama jemputan menyaksikan demonstrasi latihan amal yang melibatkan seramai 395 pegawai, anggota dan wakil pelbagai agensi dalam satu gerak kerja bersepadu.

Katanya, kerajaan Negeri bersama pasukan keselamatan sentiasa bersedia dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan Melaka.

“Saya difahamkan, latihan seumpama ini bukan sahaja merupakan yang pertama dilaksanakan di Melaka, bahkan yang pertama di Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post MAIM PERKENAL TAKWIM HIJRAH DIGITAL