Sorting by

×

KESIDANG LAHIR BELIA BERKUALITI DENGAN SUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KESIDANG 1 Julai – Pelbagai kemudahan sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang terus dinaik taraf bagi menyediakan ruang rekreasi dan aktiviti sihat kepada golongan belia yang merupakan antara kumpulan terbesar dalam kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, kira-kira 40 peratus penduduk di DUN berkenaan terdiri daripada golongan belia berusia bawah 35 tahun, justeru penyediaan kemudahan sukan yang berkualiti perlu diberi perhatian.

Menurut beliau, pelbagai projek naik taraf dan pembinaan baharu telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memenuhi keperluan anak muda.

“Belia merupakan antara kelompok terbesar di Kesidang. Sebab itu kita memberi tumpuan kepada penyediaan dan penambahbaikan kemudahan sukan supaya mereka mempunyai ruang yang sesuai untuk beriadah serta menjalankan aktiviti sihat.

“Tahun lalu, kita berjaya menaik taraf gelanggang sukan di Taman Tamby Cik Karim, manakala tahun ini pula dua padang awam termasuk di Taman Merdeka turut diberi penambahbaikan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Allex, antara kemudahan lain yang turut dinaik taraf ialah gelanggang sepak takraw dan bola keranjang di Melaka Baru.

Katanya, gelanggang bola keranjang di Malim juga telah ditambah baik bagi memastikan kemudahan itu terus selesa dan selamat digunakan penduduk setempat, khususnya anak muda.

“Baru-baru ini kita juga berjaya membina gelanggang sepak takraw baharu di Kampung Limbongan yang dapat dimanfaatkan oleh golongan muda di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, kawasan seperti Limbongan Permai dan beberapa lokasi lain turut menerima manfaat menerusi projek naik taraf fasiliti awam yang dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan sukan bukan sahaja bertujuan melahirkan masyarakat yang aktif dan sihat, malah berfungsi sebagai platform untuk mengisi masa lapang golongan muda dengan aktiviti bermanfaat.

“Daripada membiarkan mereka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik kita sediakan gelanggang dan kemudahan yang boleh digunakan untuk bersukan serta bergaul secara sihat.

“Sukan bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mampu mengeratkan hubungan dalam komuniti serta membentuk disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan belia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post APC IKTIRAF BAKTI PENJAWAT AWAM PERKASA PELANCONGAN MELAKA
Next post PERKHIDMATAN KLINIK PERGIGIAN BERGERAK JADIKAN SENYUMAN LEBIH BERSERI