
APC IKTIRAF BAKTI PENJAWAT AWAM PERKASA PELANCONGAN MELAKA
BANDA HILIR 1 Julai – Pengalaman ditugaskan di pelbagai jabatan dan berani menyahut cabaran untuk mempelajari perkara baharu menjadi kunci kejayaan buat dua penjawat awam dalam sektor pelancongan ini yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Negeri Melaka 2026.
Penolong Pegawai Tadbir Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Nur Azeera Jamaluddin, 37, menyifatkan pengiktirafan diterima sebagai penghargaan bermakna selepas 13 tahun berkhidmat.
Dia yang kini bertugas di Bahagian Pemasaran PERZIM sejak 2019 berkata, cabaran pada awal perkhidmatan banyak mengajar dirinya untuk menyesuaikan diri dan dianggap sebagai asam garam yang menjadikan dirinya lebih berani menempuh cabaran termasuk bertukar ke beberapa unit lain dengan menggalas tugas berbeza.
“Terima kasih kepada pengurusan PERZIM atas kepercayaan yang diberikan. Sepanjang berkhidmat saya juga berpeluang mengikuti pelbagai program dalam dan luar negara yang banyak membuka pengalaman baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka (MAPAN) Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Sementara itu, kakitangan Bahagian Media dan Grafik Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Izyan Md Fairuz, 28, berkata APC pertama yang diterimanya menjadi bukti usaha dan kerja keras tidak sia-sia.
Katanya, sepanjang lima tahun berkhidmat, dia ditugaskan di pelbagai unit bermula sebagai pelatih industri sebelum beralih ke pentadbiran, pemasaran dan media.
“Saya tiada asas dalam bidang media ini, jadi saya perlu sentiasa belajar teknologi baharu dan ini antara cabaran terbesar. Sebagai sebahagian organisasi pelancongan negeri, komitmen kerja menjadi fokus utama kerana sektor ini sering sibuk dengan pelbagai acara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


