Sorting by

×

FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026: 30 ACARA RANCAKKAN 3 DAERAH

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Sebanyak 30 acara berbentuk sukan, rekreasi, warisan dan kebudayaan mewarnai Festival Sungai Melaka 2026 yang berlangsung di tiga daerah di negeri ini sejak 14 Jun hingga 6 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, festival itu disusun bagi menawarkan pengalaman menarik kepada masyarakat sekali gus menghidupkan kawasan sungai sebagai lokasi riadah, pelancongan dan aktiviti komuniti.

Menurutnya, penganjuran di daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah itu turut menjadi platform menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia menerusi aktiviti yang sesuai dinikmati bersama keluarga.

“Festival Sungai Melaka tahun ini tampil lebih meriah dengan 30 acara menarik memenuhi citarasa pelbagai golongan, sama ada peminat sukan, penggemar aktiviti rekreasi, pencinta seni budaya mahupun mereka yang ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

“Sepanjang hampir tiga bulan penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai dan menyaksikan pelbagai program yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat keunikan budaya, warisan serta potensi sungai sebagai produk pelancongan negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Antara acara utama yang disediakan adalah Perlumbaan Perahu Naga, Melaka River Half Marathon, pertandingan memancing ikan air tawar, pertandingan memancing udang galah sepit biru, Pertandingan Golf Piala PPSPM, perlumbaan RC Bot, pertandingan fotografi serta perarakan perahu berhias.

Turut mencuri perhatian adalah pembuatan kuih keria dan Nuhea Battle of Konda-Kondi yang masing-masing disasarkan mencipta pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selain Pertandingan Ratu Kebaya Cilik yang dijangka menjadi antara tarikan pengunjung.

Shaharul Azuar berkata, festival itu diharap mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara sekali gus merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan, peniaga kecil serta komuniti di setiap lokasi penganjuran.

“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan setiap acara disediakan, festival ini akan menjadi antara acara pelancongan utama negeri yang bukan sahaja menghiburkan, malah mempromosikan keindahan sungai di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post 16 TAHUN BERJASA DENGAN MPAG, APC SUNTIK SEMANGAT ZURAIHA
Next post INISIATIF MPJ KURANGKAN BIROKRASI PEMBANGUNAN TANAH RIZAB DAPAT PENGIKTIRAFAN