Sorting by

×

INISIATIF MPJ KURANGKAN BIROKRASI PEMBANGUNAN TANAH RIZAB DAPAT PENGIKTIRAFAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN 1 Julai – Komitmen Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkasakan pembangunan komuniti membuahkan hasil apabila menerima Sijil Projek Berpotensi Tinggi pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi 2026, baru-baru ini.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi pelaksanaan inisiatif Meningkatkan Keberkesanan Pembangunan Tanah Rizab Kemudahan Awam bagi Projek Perumahan Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh warga kerja MPJ yang sentiasa komited melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Jelas beliau, projek berimpak tinggi itu diperkenalkan bagi memberi fokus kepada pemerkasaan proses pembangunan tanah yang diperuntukkan untuk kegunaan awam.

Katanya, projek berkenaan memperkenalkan pendekatan yang lebih tersusun, cekap dan bersepadu bagi memastikan tanah rizab kemudahan awam di kawasan perumahan dapat dibangunkan dengan lebih cepat serta dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat.

“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen MPJ dalam bukan sahaja memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berimpak tinggi malah turut memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, pengiktirafan tersebut telah disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad yang mewakili MPJ pada majlis yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre.

Dalam pada itu, Muhammad Zahiruddin berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan MPJ dalam menjayakan agenda reformasi birokrasi melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi nilai tambah kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“MPJ akan terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dan berorientasikan rakyat bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negeri secara keseluruhannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026: 30 ACARA RANCAKKAN 3 DAERAH
Next post MELAKA MILIKI 29 TAPAK WARISAN GEOLOGI