
WRUR SERKAM BIMBING BELIA JADI USAHAWAN BERJAYA
SERKAM 2 Julai – Usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia terus diperkasakan menerusi Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, program santai anjuran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Belia Sukan (JBS) Negeri Melaka itu menarik hampir 50 anak muda yang hadir pada program tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, objektif program tersebut untuk melahirkan lebih ramai belia aktif dan usahawan muda berjaya di negeri ini khususnya dalam DUN Serkam.
“Program itu menghimpunkan pelbagai pengisian termasuk pameran berkaitan intervensi belia kepada masyarakat serta penyediaan peluang keusahawanan.
“MPJ turut memainkan peranan dengan menguruskan penyediaan lesen kepada peniaga yang ditempatkan di kios di bawah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di mana rata-rata peniaga di situ adalah orang muda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan DUN Serkam Peringkat Negeri Melaka 2026 anjuran Kelab Belia Generasi Bukit Serkam (MAYC KGBBS) di Kiosk Anak Muda Serkam Darat sempena WRUR DUN Serkam, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata, program itu dijadikan medium untuk melahirkan generasi usahawan muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap kawasan ini terus diberi perhatian dari segi pembangunan dan penambahbaikan prasarana supaya mampu berkembang sebagai pusat aktiviti ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


