Sorting by

×

KEMBALI BERGERAK TANPA SAKIT DENGAN ENDOSKOPIK DISKEKTOMI

Masa Membaca:4 Minit, 6 Saat

Oleh: Dr. Chan Kin Hup
Pakar Bedah Saraf
Oriental Melaka Straits Medical Centre

MASALAH sakit belakang kini semakin membimbangkan dan bukan lagi satu isu yang hanya melibatkan warga emas. Golongan muda, pekerja pejabat, pemandu, pekerja kilang malah suri rumah turut berisiko mengalami masalah tulang belakang akibat gaya hidup sedentari, postur badan yang salah serta beban kerja fizikal yang berlebihan.

Antara punca utama sakit belakang yang berpanjangan ialah cakera tulang belakang terkeluar (herniated disc) dan penyempitan saluran saraf tulang belakang yang dikenali sebagai lumbar spinal stenosis.

Herniated disc berlaku apabila cakera yang berfungsi sebagai penyerap hentakan antara tulang belakang menekan saraf, manakala lumbar spinal stenosis pula berlaku apabila saluran saraf menjadi sempit akibat perubahan degeneratif berkaitan usia, penebalan ligamen atau pertumbuhan tulang.

Kedua-dua keadaan ini boleh menyebabkan tekanan saraf yang mengakibatkan kesakitan yang menjalar ke kaki, kebas, rasa mencucuk, kelemahan otot serta kesukaran berjalan jarak jauh atau duduk untuk masa yang lama.

Jika tidak dirawat dengan betul, masalah ini bukan sahaja menjejaskan pergerakan, malah turut mengganggu rutin harian, produktiviti kerja dan kualiti hidup pesakit secara keseluruhan.

APABILA SAKIT BELAKANG MENGUBAH KEHIDUPAN

Ramai pesakit pada peringkat awal menganggap sakit belakang sebagai masalah penuaan yang biasa dan cuba menahan sakit atau hanya bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, terdapat kes di mana pesakit mula mengalami kesukaran duduk lama, berjalan jauh atau membongkok, malah ada yang terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu kerana kesakitan yang semakin teruk.

Sebagai contoh, seorang pesakit berusia 40-an yang bekerja sebagai pemandu terpaksa mengurangkan waktu bekerja kerana sakit belakang yang menjalar ke kaki. Keadaan ini menyebabkan beliau sukar memandu jarak jauh, kerap terganggu tidur dan hilang tumpuan ketika bekerja. Situasi sebegini bukan sahaja memberi kesan fizikal, malah turut menjejaskan emosi serta kesejahteraan mental pesakit.

Oleh itu, pemeriksaan awal perlu dijalankan supaya doktor dapat memberikan rawatan yang sesuai sebelum keadaan sakit belakang menjadi lebih serius.

RAWATAN BERKESAN DENGAN TEKNOLOGI MODEN

Seiring perkembangan teknologi perubatan, rawatan sakit tulang belakang kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembedahan terbuka yang melibatkan luka besar dan tempoh pemulihan yang panjang.

Antara kaedah rawatan moden yang semakin mendapat perhatian ialah pembedahan endoskopik diskektomi (endoscopic discectomy), iaitu prosedur menggunakan kamera kecil (endoscope) untuk membuang bahagian cakera atau tisu yang menekan saraf melalui bukaan atau luka yang minimum.

Selain merawat herniated disc, kaedah endoskopik juga boleh digunakan dalam kes tertentu yang melibatkan lumbar spinal stenosis bagi mengurangkan tekanan saraf tanpa perlu pembedahan terbuka yang besar.

Dengan bantuan paparan skrin beresolusi tinggi, pakar bedah dapat melihat struktur saraf dengan lebih jelas dan melakukan rawatan secara lebih tepat, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pesakit.

KELEBIHAN ENDOSKOPIK DISKEKTOMI

Antara kelebihan utama prosedur ini ialah saiz luka yang lebih kecil berbanding pembedahan konvensional. Ini bermakna pesakit mengalami kehilangan darah yang minimum dan kurang kesakitan selepas prosedur.

Selain itu, tempoh pemulihan juga lebih singkat. Kebanyakan pesakit boleh bangun berjalan dalam tempoh beberapa jam selepas rawatan dan ada yang dibenarkan pulang pada hari yang sama atau keesokan hari bergantung kepada kesakitan and keadaan perubatan pesakit.

Pesakit biasanya dapat kembali menjalani aktiviti harian dan bekerja dalam masa yang lebih singkat berbanding pembedahan terbuka, sekali gus membantu mereka kembali ke kehidupan normal dengan lebih cepat.

SIAPA YANG SESUAI UNTUK RAWATAN INI?

Walaupun prosedur ini menawarkan banyak kelebihan, namun, tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani endoskopik diskektomi. Setiap pesakit perlu menjalani penilaian menyeluruh termasuk pemeriksaan fizikal dan imbasan MRI bagi mengenal pasti punca sebenar sakit belakang.

Rawatan ini lazimnya sesuai untuk pesakit yang mengalami tekanan saraf akibat herniated disc atau lumbar spinal stenosis, sakit kaki atau kebas yang tidak pulih dengan rawatan konservatif seperti fisioterapi dan ubat-ubatan, serta pesakit yang mengalami gangguan fungsi harian akibat kesakitan berpanjangan.

KESAN POSITIF TERHADAP KUALITI HIDUP

Ramai pesakit yang menjalani rawatan ini melaporkan perubahan ketara dalam kehidupan mereka. Kesakitan berkurangan, pergerakan menjadi lebih lancar dan kebergantungan kepada ubat tahan sakit dapat dikurangkan.

Pemulihan fizikal yang baik turut memberi kesan positif terhadap kesihatan mental pesakit. Apabila pesakit dapat bergerak tanpa sakit, keyakinan diri meningkat dan mereka dapat kembali bersosial, bekerja serta menjalani aktiviti lain dengan lebih selesa.

PENCEGAHAN JADI KEUTAMAAN

Walaupun rawatan moden semakin canggih, langkah pencegahan tetap penting bagi menjaga kesihatan tulang belakang. Antara amalan yang disarankan termasuk mengekalkan postur badan yang betul, mengelakkan mengangkat beban berat secara tidak betul, melakukan senaman pengukuhan otot teras, serta berehat dengan cukup bagi mereka yang duduk lama.

Selain itu, pemeriksaan awal juga penting sekiranya seseorang mengalami sakit belakang yang berpanjangan, kebas, lemah otot atau kesakitan yang semakin teruk.

KESIMPULAN

Sakit belakang bukan sekadar masalah kecil yang boleh dipandang ringan. Dengan diagnosis awal dan rawatan yang sesuai, pesakit berpeluang untuk kembali bergerak tanpa sakit dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

Pembedahan endoskopik diskektomi merupakan kaedah moden yang mampu menawarkan rawatan yang lebih selamat, berkesan dan mesra bagi pesakit.

Kesedaran masyarakat, tindakan awal serta pemilihan rawatan yang tepat adalah kunci utama untuk memastikan masalah tulang belakang dapat ditangani dengan baik dan berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post WRUR SERKAM BIMBING BELIA JADI USAHAWAN BERJAYA
Next post ‘KENDURIAN’ MELAKA, 2,000 PENGUNJUNG PERTAMA CUMA BAYAR RM10 SAHAJA