Sorting by

×

WRUR SERKAM: MPJ BINA LIMA KEDIAMAN BAHARU, BAIK PULIH 47 RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERKAM 2 Julai – Lima keluarga sebelum ini tinggal di rumah dalam keadaan daif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam kini mampu menarik nafas lega apabila kediaman mereka diberi wajah baharu menerusi Program Baik Pulih Rumah (PPKB) menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada 47 projek baik pulih rumah dan lima projek pembinaan rumah baharu yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sepanjang tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, lima rumah di DUN berkenaan berjaya dibaik pulih bagi membantu golongan memerlukan menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat.

“Rumah-rumah yang kita ziarahi di DUN Serkam ini telah selesai dibaik pulih dengan kos kira-kira RM20,000 bagi setiap kediaman.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk membasmi kemiskinan, sekali gus menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MPJ Prihatin: Menyantuni Penerima PPKB bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam di Kampung Bukit Tembakau, Umbai, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Rais berkata selain melaksanakan kerja baik pulih rumah, MPJ turut menyampaikan kit makanan dan kipas kepada setiap penerima sebagai usaha meringankan beban mereka.

Menurutnya, hasil lawatan ke rumah-rumah penerima mendapati kebanyakan kediaman mengalami masalah kebocoran bumbung yang menjejaskan keselesaan penghuni.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada KPKT dan MPJ atas segala bantuan diberikan khususnya kepada rakyat di DUN Serkam.

“Program seperti ini memberi manfaat besar kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan ia perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post MELAKA AKAN KAJI SEMULA GAJI GURU KAFA, BELA KEBAJIKAN PENDIDIK JAIM
Next post MELAKA PERUNTUK RM45 JUTA PERKASA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM