Sorting by

×

MELAKA AKAN KAJI SEMULA GAJI GURU KAFA, BELA KEBAJIKAN PENDIDIK JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan terhadap kebajikan pendidik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) termasuk mengkaji semula kadar gaji guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu adalah kesinambungan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan profesion perguruan dan menghargai jasa pendidik agama.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menaikkan elaun Guru KAFA dan Guru Tadika JAIM kepada RM1,700 selain meneruskan inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) menerusi Elaun Cuti Bersalin bagi guru wanita JAIM.

“Tahun depan kalau diizinkan saya menerajui pentadbiran negeri, saya juga akan mengkaji semula gaji-gaji guru KAFA di Negeri Melaka.

“Selagi saya diberikan amanah untuk memimpin negeri ini, selagi itulah kebajikan guru-guru JAIM akan terus menjadi antara keutamaan yang akan saya perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 JAIM di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, seramai 1,817 guru di bawah JAIM yang kini menggalas amanah mendidik generasi muda di seluruh negeri ini dan dari jumlah itu 1,464 adalah guru Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dan 353 guru Tadika JAIM yang menjadi tulang belakang kepada sistem pendidikan Islam negeri.

“Pada Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Agama Sesi 2025 JAIM ini seramai 149 guru telah menerima anugerah manakala seorang guru dinobatkan sebagai Tokoh Guru JAIM.

“Turut diberi penghargaan kepada 27 guru yang menamatkan perkhidmatan atas jasa dan pengorbanan dalam mendidik anak-anak Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post MAIM GUBAL GARIS PANDUAN, WAJIBKAN PENDAFTARAN OPERATOR VAN JENAZAH
Next post WRUR SERKAM: MPJ BINA LIMA KEDIAMAN BAHARU, BAIK PULIH 47 RUMAH