Sorting by

×

MAIM GUBAL GARIS PANDUAN, WAJIBKAN PENDAFTARAN OPERATOR VAN JENAZAH

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menggubal garis panduan khusus termasuk mewajibkan pendaftaran pengusaha atau operator van jenazah seluruh negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu adalah susulan tular mendakwa pengusaha van jenazah pada mulanya menawarkan perkhidmatan secara percuma kemudian mengenakan caj kepada keluarga si mati.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan hanya operator berdaftar dan disahkan MAIM boleh disyorkan kepada waris, sekali gus mengelakkan kejadian sama daripada berulang pada masa akan datang.

“Sebelum ini MAIM tidak mempunyai sistem pendaftaran khusus untuk pengusaha van jenazah, namun insiden yang berlaku menjadi pengajaran untuk kita agar memperkemaskan pengurusan perkhidmatan berkenaan. Selepas ini kita bukan sahaja akan membuat semakan, malah memastikan mereka berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan juga MAIM.

“Kita akan hebahkan kepada orang ramai operator yang berdaftar dan MAIM juga akan mempertimbangkan penetapan kadar caj munasabah bagi perkhidmatan membawa jenazah selepas berbincang dengan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Rahmad turut mengulas dakwaan terdapat operator yang mengenakan bayaran tertentu bagi urusan pengendalian jenazah walaupun menggunakan konsep amal.

Tambahnya, MAIM memandang serius perkara itu kerana sebarang caj tidak boleh dikenakan secara paksaan atau ditetapkan sesuka hati, lebih-lebih lagi jika perkhidmatan tersebut dipromosikan sebagai kerja kebajikan.

“Kalau benar percuma, biarlah percuma. Jika waris mahu memberi sumbangan secara sukarela, itu hak mereka, bukannya dipaksa atau ditetapkan kadar tertentu dengan menggunakan tiket ‘kerja amal’.

“Penggunaan istilah amal tidak sepatutnya disertakan dengan penetapan harga kerana perkara itu boleh mengelirukan masyarakat saya sarankan mana-mana keluarga yang merasakan mereka menjadi mangsa penipuan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Rahmad turut menasihatkan waris yang memerlukan perkhidmatan van jenazah supaya mendapatkan rujukan daripada petugas pengurusan jenazah MAIM yang ditempatkan di hospital-hospital kerajaan bagi memastikan mereka menggunakan operator yang sah dan dipercayai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post 21 KELAS BIMBINGAN MAIM PERKASA KEFAHAMAN MUALAF MELAKA
Next post MELAKA AKAN KAJI SEMULA GAJI GURU KAFA, BELA KEBAJIKAN PENDIDIK JAIM