Sorting by

×

21 KELAS BIMBINGAN MAIM PERKASA KEFAHAMAN MUALAF MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT KATIL 2 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan mualaf menerusi penyediaan 21 kelas bimbingan yang beroperasi di seluruh negeri ini.

Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Mohd Nasir Wahab berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan setiap saudara baharu menerima pendidikan agama secara berterusan selain dibimbing untuk mengamalkan ajaran Islam dengan lebih yakin dan sempurna.

Katanya, setiap daerah di negeri ini mempunyai kelas bimbingan tersendiri termasuk di Melaka Tengah yang beroperasi di Kompleks Darul Huda dan Surau AGIB Taman Bukit Katil Jaya.

“Pendekatan berasaskan kelas bimbingan ini menjadi teras utama MAIM dalam memastikan proses pengislaman disusuli dengan pendidikan berstruktur, bukan sekadar pengisytiharan syahadah semata-mata.

“Kita turut nasihatkan semua mualaf di negeri ini untuk datang ke kelas-kelas yang kita sediakan untuk memantapkan kefahaman Islam.

“Saudara baharu ini boleh datang ke kelas berhampiran mereka kerana kita ada 21 kelas seluruh negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Nasir berkata, pelaksanaan 21 kelas bimbingan itu turut berfungsi sebagai platform sokongan sosial dan pendidikan agama bagi mengelakkan wujudnya salah faham dalam kalangan saudara baharu terhadap Islam.

“Usaha ini penting bagi memastikan mualaf mendapat bimbingan berterusan seterusnya membantu proses integrasi mereka dalam komuniti Islam setempat dengan lebih baik dan tersusun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post JIWA RAKYAT TOK AJAK
Next post MAIM GUBAL GARIS PANDUAN, WAJIBKAN PENDAFTARAN OPERATOR VAN JENAZAH