
JIWA RAKYAT TOK AJAK
TELOK MAS 2 Julai – Di sebalik senyuman mesra dan sikap mudah didekati yang sering menjadi perhatian penduduk Telok Mas, tersimpan sebuah perjalanan hidup penuh liku yang membentuk keperibadian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Figura yang lebih dikenali sebagai Tok Ajak dan baru sahaja menyambut ulang tahun ke-53 itu dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan bapanya merupakan seorang anggota polis, manakala ibunya berasal dari Alor Gajah.
Kehidupan sebagai anak anggota polis menyaksikan beliau berpindah-randah mengikut penugasan bapanya sehingga pernah bersekolah di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.
Walaupun merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik, namun Tok Ajak tidak dibesarkan menjadi seorang anak yang manja, sebaliknya beliau sudah belajar berdikari sejak usia muda dan itulah membentuk dirinya pada hari ini.
Bercerita mengenai karier politik, Abdul Razak memaklumkan, pada asalnya beliau merupakan seorang peniaga, sehinggalah dijemput menyertai politik oleh beberapa tokoh yang melihat potensinya sebagai pemimpin muda.
Menurut beliau, politik bukanlah sebuah platform untuk memegang jawatan semata-mata, sebaliknya medan untuk memberikan perkhidmatan dan membantu masyarakat yang menjadi sesuatu yang amat dekat dihatinya.
“Apabila saya ditanya kenapa perlu masuk politik, saya melihat politik sebagai saluran terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Abdul Razak, beliau menyertai UMNO pada usia 20 tahun sebelum diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting dalam parti.
Pada usia 21 tahun, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka sebelum dinaikkan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian selama hampir sedekad.
Kepimpinan dan komitmennya dalam parti terus mendapat perhatian apabila beliau dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka sebelum dilantik sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia.
Beliau kemudiannya diberi tanggungjawab lebih besar sebagai Bendahari Pemuda UMNO Malaysia ketika di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin.
Selain pengalaman politik, Abdul Razak juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018, beliau diberi kepercayaan oleh Barisan Nasional untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
“Namun mungkin ketika itu Allah SWT tidak izinkan saya pada waktu ada itu, namun ia bukan pematah semangat untuk saya terus berkhidmat kepada rakyat di Telok Mas selepas itu,” tambahnya.
Walaupun bukan wakil rakyat ketika itu, beliau menubuhkan bilik gerakan sendiri bagi membantu penduduk Telok Mas dan menjadi penghubung kepada pelbagai permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.
Komitmen tersebut menjadi lebih mencabar apabila negara berdepan pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pandemik, beliau bersama jentera UMNO turun padang mengenal pasti keluarga yang kehilangan pekerjaan, terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan segera.
Dalam tempoh hampir dua tahun, ujar beliau, sebanyak 7,868 rumah berjaya disantuni menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk bekalan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan rakan-rakan serta individu yang prihatin.
“Waktu itu kami sendiri tidak mempunyai sumber yang besar, tetapi saya percaya ramai yang mahu membantu. Jadi kami kumpulkan sumbangan daripada rakan-rakan dan individu yang berkemampuan untuk disalurkan kepada penduduk Telok Mas yang memerlukan.
“Alhamdulillah sepanjang tempoh itu, kami berusaha memastikan tiada penduduk yang terabai dan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman membantu ribuan keluarga di Telok Mas mengukuhkan lagi tekadnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau sekali lagi diberi kepercayaan oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 sebelum berjaya memenangi kerusi DUN Telok Mas.
Hari ini, selain memikul amanah sebagai Adun Telok Mas, Abdul Razak turut menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri.
Bagi beliau, jawatan hanyalah amanah, manakala keutamaan sebenar adalah memastikan rakyat sentiasa mendapat pembelaan dan perhatian sewajarnya.
“Telok Mas adalah keluarga besar saya. Selagi diberikan amanah, saya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


