
MELAKA PERUNTUK RM45 JUTA PERKASA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM
BANDA HILIR 2 Julai – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM45 juta bagi memperkasa pendidikan Islam melibatkan sekolah agama, Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), institusi tahfiz dan pusat pengajian al-Quran seluruh Melaka pada tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh instituasi pendidikan Islam.
Katanya, hasil usaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan RM6.87 juta bagi menaik taraf prasarana di 134 institusi pendidikan Islam di negeri ini.
“Pendidikan agama merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegiriti, justeru pelaburan terhadap sektor ini akan terus diperkukuhkan.
“Prestasi pendidikan Islam di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1,340 calon berjaya mempeoleh keputusan 9A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 JAIM di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pencapaian itu menyaksikan Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 1.66 dan Peperiksaan Sijil Tahap Rendah Sekolah Agama dan Sekolah Rendah Arab pula merekodkan GPN 2.05 dengan kadar kelulusan 98.3 peratus.
“Penilaian hafazan al-Quran KAFA Pra Tahfiz pula mencatatkan kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah sebanyak 2.09.
“Semua hasil ini menunjukkan Kerajaan Negeri tidak memandang ringan aspek pendidikan Islam di negeri ini dan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


