Sorting by

×

MAIM SEDIA PERKHIDMATAN VAN JENAZAH PERCUMA, WARIS DINASIHAT ELAK OPERATOR TIDAK BERDAFTAR

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memandang serius mengenai isu ‘kartel van jenazah’ sedang tular dan hangat diperkatakan di laman sosial media apabila terdapat pengusaha van jenazah didakwa mempromosikan perkhidmatan mereka sebagai kerja amal.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sekiranya sesuatu perkhidmatan diuar-uarkan sebagai percuma atau berkonsepkan amal, tiada sebarang bayaran sepatutnya ditetapkan atau dipaksa keatas waris.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, MAIM sendiri ada menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma untuk penghantaran ke seluruh Negeri Melaka.

“MAIM menempatkan pegawai-pegawai bertauliah di setiap hospital kerajaan di negeri ini dan kita turut menyediakan van jenazah percuma. Untuk penghantaran dalam Melaka kita tidak mengenakan apa-apa bayaran, namun jika lokasi luar Melaka akan ada dikenakan sedikit caj namun ia masih berpatutan.

“Jadi bila timbul isu terdapat pengusaha luar yang tidak berdaftar dan mempunyai unsur penipuan serta mengenakan caj tidak munasabah, saya mohon agar waris laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad turut mengingatkan kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), organisasi atau individu agar tidak menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai mengambil kesempatan.

“Kita harapkan perkara membabitkan perkara yang sensitif dan melibatkan kematian ini tidak diambil kesempatan, isu melibatkan jenazah yang sepatutnya dipermudahkan jangan kita persulitkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM45 JUTA PERKASA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM
Next post KIOSK ANAK MUDA SERKAM DARAT JADI CONTOH, MPJ RANCANG USAHA NAIK TARAF