
KIOSK ANAK MUDA SERKAM DARAT JADI CONTOH, MPJ RANCANG USAHA NAIK TARAF
SERKAM 2 Julai – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan meneliti keperluan menaik taraf kemudahan dan prasarana di enam kios usahawan muda di Serkam Darat bagi memastikan kawasan itu terus berkembang sebagai pusat aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, kejayaan kios berkenaan beroperasi secara konsisten serta menjadi tumpuan pengunjung mendorong pihaknya mempertimbangkan penambahbaikan kemudahan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kini berjaya dihidupkan semula hasil inisiatif peniaga tempatan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sokongan pelbagai agensi kerajaan.
“Kita melihat kawasan kios ini sebagai contoh pembangunan komuniti yang berjaya. Walaupun hanya mempunyai enam kios, lokasi ini kini menjadi antara tumpuan orang ramai, khususnya pada waktu malam dan hujung minggu.
“Sebelum ini kawasan ini merupakan laluan yang kurang digunakan, namun ia berjaya diaktifkan semula hasil usaha peniaga tempatan yang dipelopori usahawan muda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program MPJ Menyantuni Peniaga sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan di Serkam Darat, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, MPJ akan melihat aspek prasarana serta kemudahan yang boleh ditambah baik bagi memastikan kawasan itu terus berkembang.
Tambahnya, kios berkenaan telah beroperasi lebih setahun menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah fasa pertama dan kedua.
“Kemudahan sama turut diwujudkan di beberapa lokasi lain termasuk lima kios di Pekan Umbai dan dua kios di Bukit Temakau yang turut mencatatkan operasi perniagaan memberangsangkan.
“Sambutan baik terutama pada hujung minggu membuktikan projek kios itu bukan sahaja menghidupkan kawasan, malah membantu meningkatkan pendapatan penduduk termasuk mereka yang menjalankan perniagaan secara sambilan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

