
MELAKA PERKASA SEKTOR AGROPELANCONGAN, TARIK PELANCONG LAWAT PRODUK LUAR BANDAR
AYER KEROH 3 Julai – Sektor Agropelancongan Melaka akan kembali meriah dengan tawaran pelbagai produk baharu dan acara menarik disusun buat pengunjung tempatan serta pelawat datang dari luar negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 pada 5 Julai ini di Duta Riang Villa, Selandar antara agenda besar untuk memeriahkan kembali sektor Agropelancongan Melaka.
Katanya, selain itu Melaka Tropical Fruit Farm di Sungai Udang juga akan dibuka semula kepada pengunjung tidak lama lagi dengan menawarkan pelbagai pengalaman baharu yang lebih unik.
Dr. Muhamad Akmal berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri mampu menggamit lebih ramai pelancong untuk meneroka produk baharu di kawasan kampung atau luar bandar dan tidak terlalu tertumpu di bandar sahaja.
“Ada yang tanya kerana tidak buat kendurian dalam bandar, lebih mudah untuk orang ramai datang, sebenarnya tahun ini dan menjelang 2027 fokus kita adalah untuk memperkasakan Agropelancongan, menggamit pelancong ke kawasan kampung yang sebenarnya memiliki banyak produk untuk dilawati.
“Contoh di Duta Riang Villa, pengunjung bukan sahaja boleh makan durian tetapi melihat sendiri cara penjagaan pokok, pembajaan dan mengutip buah durian yang gugur,” katanya ketika bersiaran di konti MelakaFM bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka Rosli Azizi Talib, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Melaka Tropical Fruit Farm, Dr. Muhamad Akmal berkata, tarikan itu kini dilengkapi tapak ‘Recreational Vehicles’ (RV) atau Kenderaan Rekreasi di kaki bukit dengan pemandangan tasik yang menarik.
“Selain itu pesekitarannya pula dikelilingi pokok durian, rambutan hutan dan antara yang menarik adalah pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman memetik buah nanas serta rock melon. Pengalaman ini tidak ada di Kuala Lumpur atau tempat lain, cuma di Melaka sahaja.
“Jadi selepas ini datang jika Melaka bukan sahaja untuk tengok pantai, bangunan cantik tetapi merasai sendiri pengalaman sebagai seorang petani, seorang nelayan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


