Sorting by

×

KERESAHAN DIAMI RUMAH UZUR BERAKHIR SELEPAS EMPAT DEKAD

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERKAM 3 Julai – Selepas lebih empat dekad mendiami rumah uzur dengan dinding merekah dan bumbung bocor, pasangan warga emas dari Kampung Bukit Tembakau, Umbai akhirnya dapat menghela nafas lega apabila kediaman mereka selesai dibaik pulih.

Kediaman pasangan berkenaan dibaik pulih menerusi Program MPJ Prihatin-Menyantuni Penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB) Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.

Jaafar Manap, 66, berkata, bantuan diterima bagaikan satu rahmat yang tidak pernah disangka kerana keadaan rumah didiaminya sejak anak-anak masih kecil semakin membimbangkan akibat faktor usia dan kedudukannya yang dikelilingi parit.

Katanya, dinding rumah mulai retak manakala bumbung zink pula mengalami banyak kebocoran sehingga menimbulkan kerisauan setiap kali hujan.

“Alhamdulillah, kami memang sangat bersyukur dan terharu kerana tidak sangka rumah ini akhirnya dibaiki. Kami duduk di sini sejak anak-anak masih kecil, sekarang anak sulung pun sudah berusia 39 tahun.

“Dulu setiap kali hujan kami risau sebab atap banyak bocor, dinding pula sudah retak. Selepas rumah ini dibaik pulih, kami rasa jauh lebih selesa dan tenang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Jaafar dan isteri Hasimah Hasan, 66, menerima lawatan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin pada Program MPJ Prihatin: Menyantuni Penerima PPKB sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Kampung Berangan Enam, Umbai, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Jaafar yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun sekolah berkata, dia dan isteri bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meneruskan kehidupan.

“Walaupun kehidupan kami serba sederhana, bantuan yang diterima mencukupi untuk menampung keperluan harian dan Kami bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKASA SEKTOR AGROPELANCONGAN, TARIK PELANCONG LAWAT PRODUK LUAR BANDAR
Next post ‘SINGA’, ‘NAGA’ KINI SIMBOL PERPADUAN