
MELAKA LANCAR KEMPEN TUNAI ZAKAT SAHAM, POTONGAN GAJI ZAKAT
PENGKALAN BATU 4 Julai – Zakat Melaka kini melancarkan Kempen Tunaikan Zakat Saham serta Kempen Potongan Gaji Baharu dan Kemaskini Zakat bagi tahun 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua kempen itu sedang berlangsung bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bertujuan memperkasa budaya dan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat Islam.
Jelas beliau, Kempen Tunaikan Zakat Saham terbuka kepada semua pemegang saham, di mana ia menawarkan hadiah istimewa berupa lapan emas 1 gram dan 20 emas 0.5 gram bagi pembayar.
“Kempen ini terbuka kepada individu Muslim, termasuk anggota perkhidmatan sektor awam dan swasta, golongan profesional, usahawan serta pesara yang mempunyai pelaburan saham,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil. 2 / 2026 anjuran MAIM Holdings Berhad di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIM Holdings Berhad Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka Azzeman Omar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Mohd Sori; Pengurus MAIM Bentara Security Sdn Bhd Datuk Shafrie Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Rahmad berkata, Kempen Potongan Gaji Zakat Baharu dan Kemaskini Zakat pula terbuka kepada semua pembayar zakat yang melaksanakan tanggungjawab mereka melalui kaedah potongan gaji secara bulanan.
Jelas beliau, kempen itu bertujuan menggalakkan lebih ramai individu memulakan potongan gaji zakat, di samping mengemaskini kadar potongan sedia ada agar selaras dengan pendapatan semasa.
“Kaedah ini bukan sahaja mudah dan sistematik, malah membantu memastikan kewajipan zakat dapat ditunaikan secara konsisten sepanjang tahun.
“Semoga usaha ini dapat meningkatkan kesedaran berzakat, sekali gus memperkukuhkan institusi zakat serta memartabatkan syiar Islam di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


