
‘DEMI TELOK MAS’ PEGANGAN BERKHIDMAT SEPENUH HATI
TELOK MAS 6 Julai – ‘Demi Telok Mas’ bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi pegangan dan prinsip yang mendasari setiap usaha serta perancangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dalam membangunkan kawasan berkenaan.
Menurut Abdul Razak, setiap keputusan dan tindakan yang dilaksanakan sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat sentiasa berpaksikan kepentingan penduduk Telok Mas.
Katanya, slogan itu juga membawa maksud komitmen sepenuh hati kepada rakyat dan pembangunan kawasan Telok Mas
“Demi Telok Mas ini membawa makna yang cukup besar kepada saya. Apa sahaja yang saya lakukan, semuanya demi Telok Mas dan rakyatnya.
“Saya berikan sepenuh hati untuk Telok Mas. Tidak ada separuh hati atau berbelah bahagi. Apa yang saya fikirkan dan usahakan adalah untuk manfaat penduduk di kawasan ini,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Mengulas mengenai pencapaian yang paling membanggakan sepanjang tempoh itu, Abdul Razak berkata, kejayaan terbesar pastinya apabila diberi mandat oleh rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Katanya, kemenangan tersebut membuka ruang untuk beliau merealisasikan pelbagai perancangan dan agenda pembangunan yang telah dirangka khusus untuk manfaat penduduk Telok Mas.
Tidak hanya itu, beliau berkata, antara komitmen utama yang digariskan kepada rakyat ketika menawarkan diri sebagai calon adalah menerusi manifesto dikenali sebagai ’10 Janji Razak’.
Lebih membanggakan, beliau berkata, kesemua janji yang dikemukakan berjaya dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh hanya dua tahun selepas diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, pencapaian itu menjadi bukti bahawa setiap janji yang dibuat kepada rakyat perlu diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang boleh dirasai masyarakat.
Katanya, prinsip ‘Demi Telok Mas’ akan terus menjadi panduan dalam meneruskan agenda pembangunan serta memperjuangkan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
“Bagi saya, amanah rakyat perlu dibalas dengan kerja dan hasil. Selagi diberi kepercayaan, saya akan terus berkhidmat sepenuh hati demi Telok Mas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


