Sorting by

×

FESTIVAL MASAKAN WARISAN MELAKA DAN MELAKA HERITAGE FESTIVAL 2026 SASAR 10,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 4 Julai – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang penganjuran Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Julai.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, festival itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan yang membabitkan tujuh etnik utama di Melaka, pengusaha warisan serta penyertaan muzium dari seluruh negara.

“Sepanjang tiga hari penganjuran, kita mengadakan pelbagai pengisian termasuk persembahan tarian, seni mempertahankan diri, demonstrasi masakan tradisional dan permainan warisan yang melibatkan tujuh etnik utama di Melaka.

“Alhamdulillah, tahun ini kita turut menerima penyertaan empat muzium iaitu Muzium Negara, Muzium Negeri Sembilan, Muzium Terengganu dan Muzium Perak, selain pengusaha kampung, inap desa serta penaja yang sentiasa menyokong program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan pada hari pertama dan kedua amat menggalakkan apabila bukan sahaja menerima kehadiran masyarakat tempatan, malah pelancong luar negara yang turut mengambil bahagian dalam demonstrasi permainan tradisional dan masakan warisan.

Ujarnya, penganjuran festival itu bukan sekadar mempromosikan warisan budaya negeri, malah menjadi platform melestarikan warisan ketara dan tidak ketara agar terus diwarisi generasi akan datang.

“Saya berharap semua masyarakat, khususnya rakyat Melaka untuk bersama-sama memulihara atau menjaga khazanah warisan yang kita miliki supaya legasi ini dapat diteruskan oleh generasi muda pada masa hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, majlis perasmian festival itu disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

989
Kongsi :
Previous post 220 ACARA MENARIK SEPANJANG TAHUN GAMIT PELANCONG KE MELAKA
Next post SEDEKAD PENGANJURAN MALAKKA DUTCH FESTIVAL