
SEDEKAD PENGANJURAN MALAKKA DUTCH FESTIVAL
BANDA HILIR 4 Julai – Penganjuran Malakka Dutch Festival yang memasuki ulang tahun ke-10 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh hubungan Melaka dan Belanda.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival itu bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara sejarah dan mengeratkan lagi hubungan yang terjalin sejak sekian lama dengan Belanda.
“Sambutan festival tahun ini amat istimewa apabila kita meraikan ulang tahun yang ke-10 malah saya percaya ia membawa makna yang amat besar disebalik penganjuran ini.
“Ia tentang sejarah yang diberi nafas, warisan yang diberi makna dan persahabatan Melaka-Belanda yang terus hidup merentas masa.
“Bersempena sambutan Malakka Dutch Festival ini sebanyak 12 program diadakan termasuk forum ‘A Taste of Dutch Melaka: A Culinary Legacy’ yang mengetengahkan budaya Belanda terhadap warisan kulinari Melaka menerusi makanan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malakka Dutch Festival @ Melaka 2026, di perkarangan Bangunan Stadthuys, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda Ke Malaysia Jacques Werner; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurut Ketua Menteri, sambutan sedekad festival itu juga amat bermakna apabila turut diadakan pelancaran ‘Malakka Dutch Batik Design’ yang membawa simbolik hubungan erat antara Melaka dan Belanda hasil rekaan Karl Ho.
“Rekaan batik ini mungkin kelihatan sederhana namun mempunyai makna yang cukup mendalam apabila bunga tulip melambangkan Belanda manakala bunga kesidang mewakili Melaka.
“Gabungan kedua-dua motif ini menggambarkan persahabatan yang terus terjalin erat melalui budaya, rasa hormat dan warisan yang dikongsi bersama,” katanya.
Jelas Ketua Menteri, penganjuran festival itu juga amat bermakna kerana Melaka bakal menyambut ulang tahun ke-18 sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai ini.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan tetapi membawa tanggungjawab besar kepada Kerajaan Negeri untuk terus memelihara nilai, identiti dan keaslian bandar bersejarah kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


