Sorting by

×

MELAKA MILIKI STESEN PENYELIDIKAN SAWIT PERTAMA DI SUNGAI RAMBAI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Kampung Seri Mendapat, Sungai Rambai bakal menjadi kawasan pertama di negeri ini dibangunkan Stesen Penyelidikan Strategik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 40.46 hektar dengan kos dianggarkan berjumlah RM20 hingga RM25 juta.

Jelas beliau, apabila siap kelak, stesen itu bakal membangunkan ladang model, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal moden, pusat latihan, penempatan pegawai TUNAS, pasukan penguat kuasa serta pelbagai kemudahan sokongan yang bakal memperkukuh industri sawit negeri.

“Ini akan menjadi pusat penyelidikan sawit pertama di Melaka, di mana Kerajaan Negeri telah meluluskan tanah seluas 100 ekar (40.46 hektar) di Seri Mendapat, Jasin.

“Dengan adanya stesen ini, ia diharap dapat membantu pengusaha-pengusaha kelapa sawit di negeri ini menerima latihan dan pendidikan yang akan diberikan MPOB bagi mempertingkatkan mutu hasil sawit mereka.

“Seterusnya, ia diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi para pekebun kecil di seluruh Negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah MPOB Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, bagi membantu pekebun kecil sawit di negeri ini, MPOB turut menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0.

Jelas beliau, skim itu bertujuan membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit tua dengan benih baharu yang lebih berkualiti, produktif dan mampu meningkatkan pendapatan mereka pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post BATIK MELAKA-BELANDA DILANCARKAN, KETENGAH MOTIF BUNGA KESIDANG DAN TULIP
Next post ‘BUKAN RAKYAT CARI KETUA MENTERI, TAPI KETUA MENTERI TURUN JUMPA RAKYAT’