Sorting by

×

PELABUHAN DARAT MELAKA WUJUD LEBIH 500 PELUANG PEKERJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

GADEK 6 Julai – Lebih 500 peluang pekerjaan bakal diwujudkan hasil pembangunan Melaka Inland Port atau Pelabuhan Darat Melaka (MIP) yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apabila siap kelak pelabuhan darat pertama Melaka yang bernilai RM300 juta itu akan menjadi ‘catalyst’ (pemangkin) kepada ‘new economy’ (ekonomi baharu).

“Pembangunan ini akan memberi satu rangkaian strategik dalam membangunkan industri di Melaka kerana Melaka tidak mempunyai sebuah pelabuhan lengkap.

“MIP akan dilaksanakan melalui dua fasa yang mana fasa pertama akan siap pada 2027, sebelum diteruskan ke fasa seterusnya.

“Selain memberi impak kepada ekonomi, pembangunan ini dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan pelbagai jawatan terutamanya kepada penduduk di daerah Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Melaka Inland Port (MIP) yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, di Tapak Tanah Taboh Naning, Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka  Datuk Khaidhirah Abu Zahar;  barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta Pengarah Urusan Great Merchant Inland Port, Datuk Paduka Dzulfadly Abdullah.

Menurut Ketua Menteri, MIP bukan sekadar sebuah pelabuhan darat tetapi merupakan pelaburan strategik yang melengkapkan ekosistem perindustrian, memperkukuh rangkaian logistik serta menghubungkan Melaka dengan rantaian perdagangan termasuk bekalan di peringkat serantau serta antarabangsa.

“Dengan ekosistem logistik yang lebih moden dan bersepadu, Melaka kini berada pada kedudukan yang lebih strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dan sekaligus muncul sebagai hab perdagangan serta logistik serantau.

“Saya percaya MIP akan menjadi pemangkin kepada transformasi logistik negeri yang akan memperkukuh daya saing ekonomi Melaka untuk dekad-dekad akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

241
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI BAWA MAKNA BESAR BUAT KELAS AL-QURAN SUNGAI RAMBAI
Next post ‘DEMI TELOK MAS’ PEGANGAN BERKHIDMAT SEPENUH HATI