Sorting by

×

‘BAU TANAH’ ANTARA PETUA PINDAH KUBUR LAMA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERKAM 9 Julai – Meskipun si mati sudah meninggal dunia bagi tempoh masa yang agak lama, namun setiap kali proses mengalih atau memindahkan kubur umat Islam akan dilaksanakan mengikut pematuhan syariat dan tertib kerja yang ketat.

Prosedur yang ketat itu bukan untuk merumitkan proses memindahkan kubur si mati, tetapi bertujuan memastikan proses memindahkan kubur dilaksanakan dengan penuh rasa hormat terhadap jenazah.

Berkongsi pengalaman, panel pengalihan kubur Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Nasri Omar, 51, berkata kaedah ‘bau tanah’ antara petua kebiasaan digunakan bagi proses memindahkan kubur lama yang usianya melebihi 100 tahun.

6228687943941951515
MOHD NASRI

“Pada kebiasaan pada usia lebih satu abad jasad termasuk tulang sudah hancur, jadi kita guna keadah bau tanah untuk kesan jenazah, apabila sudah dikenal pasti tanah yang ada kesan jenazah tadi akan diambil untuk dikafankan, seterusnya dikebumikan semula di lokasi yang disediakan.

“Bau tanah ini adalah bau kapur barus, meskipun sudah lama bau ini masih ada, tetapi jika gagal juga untuk kesan kedudukan jenazah menggunakan kaedah ini kita akan menapis tanah untuk mengesan tulang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohd Nasri berkhidmat sebagai panel pengalihan kubur MAIM sejak 2009 berkata, pada kebiasaannya penggalian untuk proses memindahkan kubur melibatkan paras kedalaman tiga kaki atau anggaran 0.9144 meter.

“Aspek paling penting sepanjang proses pengalihan kubur adalah menjaga adab dan tatasusila ketika berada di kawasan tanah perkuburan.

“Setiap pengalihan kubur mempunyai cabaran tersendiri kerana keadaan tanah dan usia kubur berbeza-beza selain semua itu dilakukan dengan penuh tertib dan penuh rasa penghormatan serta mematuhi syariat Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

792
Kongsi :
Previous post SIMPANG TIGA SOLOK DUKU DINAIK TARAF JADI BULATAN
Next post AKTIF PERKASA ANAK MUDA, PEGUAM SYARIE DINOBAT IKON BELIA MELAKA