
AKTIF PERKASA ANAK MUDA, PEGUAM SYARIE DINOBAT IKON BELIA MELAKA
AYER KEROH 9 Julai – Menguruskan firma guaman sendiri sebagai peguam syarie bukan alasan buat Harris Daniel Hermee, 28, untuk mengetepikan tanggungjawab sosial apabila terus aktif menggerakkan pelbagai program pembangunan belia.
Komitmen itu membuahkan hasil apabila Harris Daniel dinobatkan sebagai johan Kategori Individu Lelaki Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Melaka 2026 sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM4,000.
Harris Daniel berkata, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuknya terus menyumbang kepada masyarakat menerusi bidang guaman dan gerakan belia.
Katanya, penyertaan dalam APBN bukan sekadar melihat kepada penglibatan seseorang dalam persatuan, sebaliknya turut menilai pencapaian, program yang dilaksanakan serta sumbangan di peringkat cawangan, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Ini adalah pengalaman kedua saya menyertai anugerah ini. Tahun lalu saya pertama kali mencuba dan mendapat tempat ketiga.
“Pengalaman itu banyak membantu saya memperbaiki kelemahan terutama dari segi penglibatan dalam program bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Terdahulu, dia menerima anugerah tersebut disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Sepanjang aktif bersama Gerakan Belia 4B Hang Tuah Jaya, Harris Daniel banyak terlibat dalam pelbagai program bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) serta badan belia di peringkat daerah.
“Antara penglibatan yang memberi pengalaman besar kepada saya ialah menyertai program bersama belia antarabangsa menerusi jaringan Gerakan Belia 4B selain penglibatan bersama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
“Saya melihat penglibatan belia bukan sekadar menghadiri program, tetapi bagaimana kita memberi manfaat kepada komuniti dan menjadi penghubung antara golongan muda dengan pelbagai peluang yang tersedia,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, minat dalam aktiviti kemasyarakatan mula berkembang ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Undang-Undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Selepas tamat pengajian dan kembali ke Melaka, dia mula mencari ruang untuk menyumbang menerusi persatuan belia sebelum aktif bersama Gerakan Belia 4B Hang Tuah Jaya di kawasan Pengkalan Batu.
“Saya mula terlibat dengan program bersama komuniti di kawasan berkenaan termasuk aktiviti sukan, pembangunan belia dan program kesukarelawanan.
“Pada masa sama, saya turut diberi peluang menjadi antara Adun Belia bagi kawasan Pengkalan Batu yang membuka ruang untuk saya memahami keperluan dan aspirasi golongan muda,” katanya.
Menurutnya, dalam kesibukan menguruskan firma guaman sendiri sebagai peguam syarie, dia sentiasa memastikan masa dibahagikan dengan baik antara kerjaya, aktiviti belia dan kehidupan peribadi.
“Saya bahagi masa kira-kira 30 peratus untuk kerja hakiki, 30 peratus untuk program belia dan selebihnya untuk keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

