
INOVASI ‘VISIONGUARD’ MPAG TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK BERPRESTASI TINGGI
ALOR GAJAH 9 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima Sijil Projek Berpotensi Tinggi pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Pengiktirafan itu diberikan menerusi pelaksanaan projek VISIONGUARD, iaitu sistem pemantauan berasaskan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi keupayaan analitik pintar bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah haram secara automatik, pantas dan tepat.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“VISIONGUARD membolehkan pengesanan aktiviti pembuangan sampah haram dilakukan secara masa nyata berbanding kaedah konvensional yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga 14 hari untuk dikenal pasti dan diambil tindakan.
“Melalui sistem ini, notifikasi dapat disalurkan serta-merta kepada MPAG dan agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan awal diambil dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, penggunaan teknologi pintar itu turut mengurangkan kebergantungan kepada laporan manual masyarakat selain membantu meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan.
“Projek ini bukan sahaja menjimatkan kos operasi kerana mengurangkan keperluan pemantauan manual secara berterusan, malah membantu mengoptimumkan penggunaan sumber manusia melalui analitik pintar yang lebih cekap.
“Pada masa sama, ia menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih, selamat dan kondusif, sekali gus meningkatkan imej Alor Gajah sebagai destinasi yang menarik kepada pelabur serta pelancong,” katanya.
Tambah TPr. Saifuddin, VISIONGUARD juga menjadi pemangkin kepada MPAG untuk terus memperkukuh agenda Reformasi Kerenah Birokrasi serta menyokong aspirasi bandar pintar yang berdaya saing.
“Yang paling penting, ia meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


