Sorting by

×

SUNGAI RAMBAI IDAM PEMBANGUNAN PEKAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI RAMBAI 9 Julai – Pekan lama yang menjadi nadi kehidupan penduduk Sungai Rambai berpotensi diperluaskan menerusi pembangunan baharu, sekali gus memberi sinar kepada masyarakat di kawasan itu.

Cadangan mewujudkan pembangunan baharu itu termasuk memperluaskan kawasan pekan lama yang merupakan antara harapan disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, walaupun pekan sedia ada mempunyai nilai sejarah dan menjadi tumpuan penduduk sejak sekian lama, kawasan itu masih mempunyai ruang untuk dikembangkan dengan perancangan lebih tersusun.

“Memang YB Siti Faizah ada menyatakan pekan ini sudah lama, namun kita perlu lihat sama ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai perancangan memperbesarkan lagi kawasan pekan ini dengan pembangunan baharu.

“Kita juga mengalu-alukan sekiranya ada pemaju yang berminat atau agensi berkaitan boleh mencadangkan pembangunan bersesuaian di kawasan berhampiran pekan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MPJ Bersama Komuniti @ Sungai Rambai dan Taklimat Projek Pembangunan Eko Pelancongan Pesisiran Sungai Kesang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Mengulas mengenai kemungkinan mewujudkan pekan baharu di Sungai Rambai, Zulkiflee berkata perkara itu akan direalisasikan bagi memastikan kawasan berkenaan terus menerima limpahan pembangunan.

“Insya-Allah, itulah harapan beliau (Siti Faizah) kepada pembangunan yang dirancang. Kita berharap sekiranya ada peluang dan perancangan yang sesuai, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk Sungai Rambai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

708
Kongsi :
Previous post INOVASI ‘VISIONGUARD’ MPAG TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK BERPRESTASI TINGGI
Next post HAMPIR RM1 JUTA NAIK TARAF PASAR WILAYAH TAMAN KOTA LAKSAMANA