
HAMPIR RM1 JUTA NAIK TARAF PASAR WILAYAH TAMAN KOTA LAKSAMANA
KOTA LAKSAMANA 9 Julai – Hampir RM1 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf Pasar Wilayah Taman Kota Laksamana dalam usaha memperbaharui kemudahan pasar awam itu agar lebih bersih, cantik dan ceria untuk dikunjungi masyarakat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata kerja naik taraf pasar berkenaan dilaksanakan sebanyak dua kali membabitkan tempoh sekitar 2025 dan 2026.
Katanya, pembaharuan itu turut menjadi pemangkin kepada MBMB untuk meningkatkan kesedaran peniaga supaya bersama-sama memelihara kebersihan persekitaran tempat mereka mencari rezeki.
“Kalau kita lihat hari ini, pasar ini merupakan pasar yang baharu dinaik taraf. Jadi mengambil kesempatan daripada semangat baharu ini, kita mengadakan kempen dan memberi nasihat serta teguran kepada peniaga supaya sama-sama menjaga kebersihan.
“Kita mahu pasar ini menjadi lebih bersih, lebih cantik dan ceria serta senang dikunjungi masyarakat untuk membeli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Pasar Awam Bersih di Pasar Wilayah Taman Kota Laksamana, di sini.

Terdahulu pasar berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong.
Hadir sama, Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Shadan, kempen berkenaan dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dan peniaga bahawa kebersihan pasar perlu dipelihara secara bersama, khususnya selepas kemudahan itu menerima kerja naik taraf.
“Pasar ini adalah tempat peniaga mencari rezeki, jadi kita mahu mereka bersama-sama menjaga kebersihan di sekitar kawasan ini.
“Kempen ini dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan peniaga sendiri supaya sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MBMB turut melaksanakan kempen lain membabitkan aspek kebersihan dan kesihatan di pasar awam di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


