Sorting by

×

BUDAYA KERJA DI MELAKA JELAS, KERAJAAN TIDAK HANYA TUNGGU DI PEJABAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BEMBAN 9 Julai – Pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah membuktikan bahawa budaya kerja yang dibawa di Melaka berbeza dengan negeri-negeri lain.

Ab Rauf berkata, sejak tiga tahun lalu, pentadbiran beliau telah mengubah cara kerja untuk lebih dekat dengan rakyat, termasuklah apabila memperkenalkan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat.

Jelas beliau, satu budaya kerja yang jelas telah dibentuk sepanjang tempoh itu, di mana, kerajaan tidak lagi hanya menunggu di pejabat, sebaliknya mesti turun ke bawah, masuk ke kampung-kampung dan mendengar sendiri denyut kehidupan rakyat.

“Saya tahu, apabila kita turun dari rumah ke rumah, dari kampung ke kampung dan dari satu DUN ke satu DUN, mungkin ada yang berkata, ‘sudah dekat pilihan raya, barulah nak berjumpa rakyat’.

“Tetapi tuan-tuan dan puan-puan, pendekatan ini bukanlah baharu dibuat hari ini, hakikatnya, sudah dua tahun kita mengubah cara kerajaan bekerja menyantuni rakyat melalui WRUR yang kini telah pun memasuki siri ke-22.

“Sepanjang tempoh ini, kita ketuk pintu ke pintu, rumah ke rumah. Kita masuk juga ke kampung hinggalah ke bandar. Kita dengar sendiri denyut nadi rakyat, kita selami keluhan mereka, dan kita kumpulkan setiap aduan secara terus di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Padang Awam Taman Maju, Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, selagi diberi mandat mentadbir negeri, beliau akan terus memastikan suara rakyat terus didengari dan permasalahan mereka akan dicari solusi berpaksikan semangat Melaka Sayang Rakyat.

“Selagi ada rakyat yang mengadu, selagi ada keluarga yang menaruh harapan dan selagi ada kawasan yang memerlukan perhatian, selagi itulah kerajaan yang mentadbir negeri ini akan terus melangkah dan bekerja demi rakyat untuk raktat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post WRUR SUNGAI RAMBAI TAMPIL PENDEKATAN CSR DEMI RAKYAT
Next post BUKAN SEKADAR BERSALAMAN, KETUA MENTERI TURUN BAWA SINAR UNTUK ORANG BEMBAN