
TOK RAUF SUMBANG JENGKAUT MINI MUDAHKAN URUSAN PENGEBUMIAN DI KAMPUNG LADANG
KUALA LINGGI 10 Julai – Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat setempat terus diterjemahkan apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyumbangkan sebuah jengkaut mini bagi memudahkan urusan pengurusan tanah perkuburan di Kampung Ladang, di sini.
Sumbangan itu diberikan bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, hari ini.
Jengkaut mini itu merupakan antara inisiatif Ketua Menteri dalam membantu meningkatkan kecekapan pengurusan tanah perkuburan selain membantu komuniti setempat menguruskan urusan pengebumian dengan lebih sistematik dan teratur.
Menurut Ab Rauf, penambahbaikan aspek pengurusan tanah perkuburan perlu diberi perhatian seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan zaman.
“Antara tujuan kita turun bertemu rakyat adalah untuk meningkatkan kualiti pengurusan masyarakat, termasuk dalam aspek pengurusan tanah perkuburan.
“Jika dahulu generasi terdahulu menjalani kehidupan secara konvensional, jenazah dikebumikan di mana-mana kawasan yang sesuai dan akhirnya sukar untuk dikesan apabila tanah perkuburan semakin bertambah.
“Sebab itu, saya melihat perlunya pengurusan tanah perkuburan yang lebih sistematik dan mengilhamkan inisiatif Kubur Digital, di mana setiap kubur akan dinomborkan bagi memudahkan pengesanan oleh waris,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan penyerahan sumbangan jengkaut mini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, sebaik diberi amanah mentadbir negeri, antara pembaharuan yang dilaksanakan adalah memperkenalkan konsep Kampung Digital bagi memodenkan sistem pengurusan kampung.
“Daripada kampung menggunakan alamat perbatuan, kita ubah kepada Kampung Digital dengan alamat lengkap bagi memudahkan pengesanan lokasi.
“Seiring dengan itu, tanah perkuburan juga akan didigitalkan dengan setiap lot kubur diberikan nombor dan dihubungkan dengan sistem Kampung Digital.
“Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Mufti kerana pada masa akan datang, masyarakat tidak lagi menghadapi kesukaran mencari lokasi pusara ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berharap inisiatif Kampung Digital dan Kubur Digital itu dapat dijayakan bersama demi manfaat masyarakat pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


