
WRUR MERLIMAU BAWA SINAR BAHARU BUAT MUALAF MAIM
MERLIMAU 17 Julai – Mendiami kediaman yang selesa sememangnya menjadi impian semua insan, termasuk Muhammad Yusof Sia Hock Lim, seorang asnaf mualaf yang menetap di Taman Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Merlimau.
Kediaman didiaminya sebelum ini berdepan kerosakan pada bumbung dan tandas, namun atas faktor kekangan kewangan dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk membaiki rumah didiaminya.
Namun, di sebalik kepayahan itu ada sinar apabila Kerajaan Negeri menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau turun padang menziarahinya dan membawa berita gembira.
Menerusi ziarah kasih yang diadakan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi membaik pulih rumah asnaf mualaf itu.
Ziarah itu dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta wakil MAIM.
Turut disampaikan sumbangan wang tunai dan kit makanan bagi meringankan beban Muhammad Yusof dan keluarga.
Sementara itu, Rais ketika ditemui pemberita berkata, pada sesi ziarah itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa rumah yang dibina di atas tanah PERKIM dan dihuni oleh golongan mualaf yang memerlukan bantuan serta perhatian daripada Kerajaan Negeri.
Katanya, bentuk bantuan yang sesuai akan diteliti bagi memastikan kebajikan penghuni di situ terus terbela.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Ini selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan kebajikan rakyat sebagai agenda utama pentadbiran negeri,” katanya.
Keprihatinan yang ditunjukkan itu secara tidak langsung membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dan MAIM dalam terus membela kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

