
WARGA EMAS SEBAK, RUMAH UZUR DIGANTI BAHARU
PAYA RUMPUT 30 Julai – Seorang warga emas tidak dapat menahan sebak apabila hasrat untuk menghuni kediaman yang lebih selesa akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima bantuan bina baharu rumah.
Zaina Mat, 72, menerima bantuan itu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di bawah Program Melaka Rumahku (Bina Baharu).
Menurut warga emas itu, keadaan kediaman peninggalan arwah suaminya sudah uzur akibat anai-anai selain bahagian dalam rumah kerap dimasuki air hujan akibat bumbung rosak.
“Rumah ini peninggalan arwah suami dan keadaannya memang sudah teruk termasuk terdapat bahagian bumbung yang bocor.
“Apabila cuaca hujan lebat dan angin kencang pada waktu malam memang saya tidak dapat lena kerana takut. Saya akan duduk di dalam bilik sehingga lah hujan berhenti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zaina berkata, demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih LPM sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di kediamannya di Kampung Krubong Tengah, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah LPM Mohd Salleh Hamidon dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datin Ernie Aidilia Karim.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia sudah lama memohon bantuan untuk baik pulih rumahnya itu namun tidak berjaya sebelum baru-baru ini dia sekali lagi mencuba nasib.
“Memandangkan kos untuk baik pulih agak mahal saya tidak mampu sebelum sekali lagi saya mencuba bertanyakan untuk memohon bantuan.
“Memang tidak sangka bukan sahaja permohonan diluluskan tetapi saya menerima bantuan bina baharu rumah.
“Meskipun gembira dengan rezeki ini, namun jauh disudut hati terasa sebak kerana hasrat untuk baik pulih rumah tercapai. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk lah Kerajaan Negeri yang begitu prihatin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


