ABIBAH LEGA, LPM BAIK PULIH RUMAH BERISIKO ROBOH AKIBAT ANAI-ANAI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 30 Julai – Bantuan baik pulih rumah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) memberi kelegaan kepada Abibah Abdullah, 72, apabila kediamannya yang reput akibat anai-anai akhirnya akan dibaik pulih.

Abibah berkata, struktur utama kediaman termasuk rangka bumbung mengalami kerosakan serius akibat serangan anai-anai menyebabkan dia bimbang berhubung keselamatan diri dan ahli keluarganya yang lain.

“Sudah lama saya mahu baiki kerosakan pada struktur rumah, sejak arwah suami masih ada lagi, namun hasrat itu terbantut kerana kos dianggarkan mencecah ribuan ringgit, memang kami tidak mampu.

“Sebelum ini arwah suami pernah berjumpa dengan Datuk Rais Yasin (Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput) menceritakan masalah kami, alhamdulillah kesukaran kami mendapat perhatian beliau,” katanya.

Abibah berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih LPM sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di kediamannya di Kampung Krubong Tengah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah LPM Mohd Salleh Hamidon dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datin Ernie Aidilia Karim.

Dia yang tinggal seorang diri di kediaman itu berkata, berita gembira itu juga amat melegakan dirinya yang sebelum ini berada dalam kebimbangan kerana rumah didiami berisiko roboh terutama setiap kali berlaku hujan lebat beserta tiupan angin kencang.

“Kalau tiada bantuan ini memang agak susah selain saya agak risau memandangkan kayu rangka bumbung sudah banyak yang rosak dan boleh roboh.

“Tanpa pertolongan terutamanya daripada Datuk Rais, memang buntu dibuatnya. Terima kasih kepada semua yang membantu memudahkan urusan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TURUN PADANG, DENGAR DENYUT NADI PENIAGA PASAR MBMB