
MPAG SEMARAK BULAN KEBANGSAAN DENGAN 2,000 JALUR GEMILANG
ALOR GAJAH 30 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyasarkan pemasangan antara 1,500 hingga 2,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan pentadbirannya sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar menghiasi kawasan sekitar, malah menjadi simbol kecintaan kepada negara serta medium untuk menyemai semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat.
“Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, MPAG menyasarkan pemasangan antara 1,500 hingga 2,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan pentadbiran.
“Setiap kali menjelang sambutan Bulan Kebangsaan, kawasan pentadbiran MPAG akan dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Pentadbiran dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Tahun 2026 Peringkat Majlis Perbandaran Alor Gajah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, MPAG turut menyeru seluruh komuniti, khususnya penduduk di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan pejabat masing-masing sebagai tanda cintakan negara.
“Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan Jalur Gemilang dipasang mengikut tatacara yang betul sebagai tanda penghormatan terhadap lambang kebesaran negara.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai kaedah pemasangan atau penggunaan Jalur Gemilang, orang ramai boleh menghubungi MPAG untuk mendapatkan panduan dan penjelasan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung penyampaian Anugerah Staf Cemerlang bagi bulan April hingga Jun 2026 sebagai penghargaan kepada warga kerja MPAG yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

