590 ‘PERMATA’ MELAKA TERIMA INSENTIF KECEMERLANGAN

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 30 Julai – Seramai 590 pelajar cemerlang yang meraih kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Sijil Tahfiz Malaysia menerima insentif daripada Kerajaan Negeri sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan lahirnya generasi pewaris yang bakal meneruskan kecemerlangan Melaka pada masa hadapan.

“Bagi saya, angka 590 ini bukan angka biasa. Inilah 590 permata negeri yang menjadi bukti keupayaan anak Melaka, harapan besar keluarga dan paling utama bakal meneruskan legasi kecemerlangan serta mengangkat nama Melaka ke persada yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Canseleri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Mengulas pencapaian pendidikan negeri, Ab Rauf berkata, prestasi peperiksaan utama tahun 2025 terus menunjukkan peningkatan membanggakan apabila Gred Purata Negeri keseluruhan bertambah baik kepada 2.47 berbanding 2.96 pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, keputusan SPM merekodkan seramai 473 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, termasuk 12 calon yang berjaya memperoleh keputusan straight A+, sekali gus meningkatkan Gred Purata Negeri daripada 4.43 pada tahun 2024 kepada 4.24 pada tahun 2025.

Bagi STPM pula, katanya, seramai 36 calon berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, manakala Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Durian Daun dinobatkan sebagai Kolej Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025.

Lebih membanggakan, ujar beliau, pelajar kolej berkenaan, Ng Zhen Hong, turut dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains.

“Dua pengiktirafan tertinggi ini membawa satu mesej yang jelas bahawa Melaka bukan sekadar menyertai persaingan, tetapi sedang menetapkan ukuran kecemerlangan di pentas pendidikan negara,” katanya.

Dalam bidang pendidikan agama pula, Ab Rauf berkata, seramai 13 calon STAM memperoleh keputusan Mumtaz, termasuk tiga penerima Sijil Mumtaz Sufi, sekali gus menjadikan pencapaian STAM 2025 antara yang terbaik pernah direkodkan Melaka sejak tahun 2011.

Beliau berkata, dua pelajar Melaka iaitu Maryam Ulfah dan Nazatul Amirah turut menerima pengiktirafan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong atas kecemerlangan mereka.

Selain itu, katanya, seramai 105 huffaz berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan lulus Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Meskipun pencapaian yang saya sebutkan ini datang daripada empat laluan pendidikan yang berbeza, mesejnya tetap sama, iaitu anak Melaka mempunyai kemampuan untuk menyerlah dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post MPAG SEMARAK BULAN KEBANGSAAN DENGAN 2,000 JALUR GEMILANG
Next post MESRA PENDIDIKAN SUNTIK RM15 JUTA UNTUK ANAK MELAKA