
30 ANAK MELAKA BAKAL TERIMA TAJAAN PENGAJIAN KEJURURAWATAN
DURIAN TUNGGAL 30 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti terus membuahkan hasil apabila sebuah universiti swasta bersetuju menaja pengajian 30 anak Melaka dalam bidang kejururawatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi berita baik buat anak negeri selepas kejayaan menjalin kerjasama strategik dengan International Aero Training Academy (IATAC) yang menaja sepenuhnya pengajian 20 anak Melaka bagi mengikuti latihan sebagai juruterbang dengan nilai tajaan keseluruhan RM10 juta.
“Saya ingin berkongsi satu lagi berita baik buat anak-anak Melaka. Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya memperoleh kepercayaan sebuah universiti swasta untuk menjalin kerjasama menaja 30 orang anak Melaka mengikuti pengajian dalam bidang kejururawatan.
“Sebelum ini, menerusi kerjasama strategik bersama International Aero Training Academy, seramai 20 anak Melaka telah menerima tajaan penuh untuk mengikuti latihan sebagai juruterbang dengan nilai tajaan keseluruhan RM10 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Canseleri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, kejayaan menarik institusi pendidikan swasta untuk menawarkan tajaan kepada anak Melaka bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada keyakinan terhadap dasar serta hala tuju pentadbiran negeri.
“Keyakinan dan kesediaan seperti ini tidak datang bergolek. Ia dibina atas asas yang kukuh, perancangan yang rapi, dasar yang jelas serta gerak kerja kerajaan negeri yang konsisten di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Apabila pelbagai institusi tampil menawarkan kerjasama dan tajaan, ia membuktikan mereka yakin dengan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan serta melahirkan bakat yang mampu memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata, matlamat Kerajaan Negeri cukup jelas iaitu mahu memastikan anak-anak Melaka memperoleh masa hadapan yang cerah, di samping melahirkan bakat yang diburu industri, mengisi kerjaya bernilai tinggi serta menikmati gaji premium yang setimpal dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


