PELABUHAN ANTARABANGSA KUALA LINGGI CAPAI KEMAJUAN LEBIH 10 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KUALA LINGGI 30 Julai – Projek Kuala Linggi International Port (KLIP) terus menunjukkan perkembangan positif apabila kerja-kerja penambakan laut berjaya mencapai lebih 10 peratus daripada keseluruhan pembangunan yang dirancang, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Melaka sebagai hab maritim, logistik dan industri bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan itu membuktikan komitmen semua pihak dalam merealisasikan projek strategik berimpak tinggi yang bakal membawa limpahan ekonomi kepada negeri.

Jelas beliau, projek KLIP melibatkan pembangunan kawasan seluas 620 ekar yang akan dilaksanakan secara berfasa dan setakat ini kerja-kerja penambakan laut telah berjaya disiapkan melibatkan kawasan seluas 70 ekar, iaitu lebih 10 peratus daripada keseluruhan kawasan pembangunan yang dirancang.

“Lawatan kerja hari ini amat penting supaya saya bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dapat menilai sendiri kemajuan pelaksanaan projek, khususnya melibatkan kerja-kerja penambakan laut, pembangunan semasa serta perancangan bagi fasa seterusnya.

“Apa yang sedang kita saksikan hari ini bukan sekadar kerja-kerja penambakan laut, sebaliknya merupakan permulaan kepada sebuah pembangunan berskala besar yang bakal mengubah landskap ekonomi negeri Melaka sebagai hab maritim, logistik dan industri bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi Cadangan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi secara Tambak Laut Seluas 620 Ekar di Perairan Muara Sungai Linggi, Daerah Alor Gajah oleh Syarikat Linggi Base Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengerusi Eksekutif KLIP Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, selepas proses penambakan selesai, projek akan diteruskan dengan pembinaan pelbagai komponen utama termasuk tangki penyimpanan seluas 170 ekar, limbungan kapal (shipyard) seluas 130 ekar, kawasan fabrikasi (fabrication yard) seluas 60 ekar, dermaga kargo (cargo wharf) seluas 70 ekar serta kawasan pergudangan seluas 103 ekar.

“Selain komponen utama itu, pelbagai kemudahan sokongan dalam sektor maritim, logistik, penyelenggaraan kapal, industri hiliran serta perkhidmatan berkaitan turut akan dibangunkan bagi melengkapkan keseluruhan ekosistem KLIP,” katanya.

Ab Rauf berkata, apabila siap kelak, KLIP dijangka menjadi antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi Melaka, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor maritim dan logistik di rantau ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post 55,000 PEMILIK HARTA TERIMA EBILL MPAG
Next post EKONOMI BIRU BUKA 10,000 PELUANG PEKERJAAN UNTUK ANAK MELAKA